GALERI : Mazda2 1.5 kini ditawarkan dengan kit badan lebih sporty
Selepas menampilkan tiga warna baharu pada Julai lalu, Mazda 2 2015 kini ditawarkan pula dengan pilihan kit badan yang lebih sporty.
Bilik pameran Mazda yang terletak di Glenmarie, Shah Alam, telah pun mempamerkan model Mazda 2 versi hatchback yang dilengkapi dengan set kit badan tersebut.
Ternyata serlahan yang cukup sporty ini membuatkan jentera Mazda 2 hatchback ini kelihatan lebih menarik perhatian.
Bahagian hadapannya diserikan dengan skirting bahagian bampar berwarna hitam berkilat dan skirting sisi pula sama warna dengan kerangka. Tiada perubahan pada bahagian roda, masih mengekalkan rim 16-inci yang dibaluti tayar Dunlop Enasave EC300+.
Pada bahagian belakangnya pula, bampar dipadankan dengan peresap daripada warna yang kontra serta ekzos luaran yang diperbuat daripada keluli tahan karat.
Walau bagaimana pun, sedikit penambahan gaya ini hanya melibatkan bahagian luaran, manakala bahagian kabin tiada perubahan.
Untuk Mazda 2 sedan pula, ia belum dipamerkan di bilik pameran Mazda. Namun menurut Mazda, tiada perubahan besar kecuali ia ditampilkan dengan peresap yang berbeza dan bampar belakang yang direka semula.
Buat masa kini, semua kit badan yang ditawarkan adalah disertakan bagi setiap pembelian, sementara promosi masih berlangsung. Selepas promosi tamat, kit badan sporty untuk hatachback akan ditawarkan pada harga RM2,300, manakala RM2,370 untuk varian sedan serta ekzos luaran keluli tahan karat akan dijual berasingan berharga RM70. Manakala boot tray pula dijual pada harga RM130.
Mazda 2 dijanakan oleh enjin 1.5 liter SkyActiv-G empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 114 hp pada 6,000 rpm dan tork setinggi 148 Nm pada 4,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan.
Harganya masih sama iaitu RM87,956 (dengan insurans) dan setiap pembeliannya didatangkan dengan waranti selama tiga tahun/100,000 km dan servis percuma tiga tahun/60,000 km.