GALERI : Hyundai Tucson 2016 lebih berketerampilan
Selepas dipamerkan di Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya, Penang, Hyundai Tucson 2016 membuat penampilan khas di Lembah Klang pula. Di mana tiga unit dari Tucson generasi ketiga ini sedang dipamerkan di tiga pusat membeli-belah yang berbeza, dalam satu masa.
Ternyata usaha Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) dalam memperkenalkan kelainan warna pada bahagian luaran dan kabin SUV ini memberikan lebih banyak pilihan kepada para pengguna sebaik sahaja ia dilancarkan kelak.
Ketiga-tiga unit yang dipamerkan adalah daripada model spesifikasi paling tinggi. Kelihatan penampilan yang lebih diperkemaskinikan termasuk kehadiran lampu nyalaan siang (DRL) LED dengan kekemasan krom pada bahagian gril.
Tucson 2016 ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter multi-point injection (MPi) empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 155 PS pada 6,200 rpm dan tork 192 Nm pada 4,000 rpm.
Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik torque converter enam-kelajuan yang menyalurkan kuasanya ke roda hadapan.
Tucson 2016 berwarna putih yang dipamerkan di pusat membeli-belah Sunway Pyramid ini dilatari warna merah pekat dengan material upholstery yang membaluti tempat duduk serta dinding pintu dan papan pemula. Tempat duduk balutan kulit tersebut juga ditampilkan dengan jahitan rekaan ‘sarang lebah’ memberikan sentuhan yang lebih elegan.
Bagi Tucson 2016 berwarna biru yang dipamerkan di Paradigm Mall, Kelana Jaya, ia dilatari warna hitam pada bahagian kabinnya. Ia juga ditampilkan dengan tempat duduk balutan kulit dengan jahitan rekaan ‘sarang lebah’
Manakala Tucson 2016 berwarna merah yang sedang dipertontonkan di Bangsar Shopping Centre pula dihiasi dengan ruang dalaman berwarna putih dengan sedikit perbezaan tempat duduk balutan kulit berbanding dua unit yang lain. Ia nampak lebih ‘mewah’ dengan penyandar tempat duduk dihiasi rekaan quilted.