Memandu ketika jerebu boleh beri kesan terhadap kesihatan – “Elak guna kenderaan, jika tidak penting” – menteri
Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menyarankan agar semua pemandu untuk mengurangkan pemanduan seminimum yang perlu bagi mengelakkan menyedut udara yang tidak sihat akibat jerebu.
Laporan dari Malay Mail Online menyebut, memetik kenyataan menteri terbabit, “Apabila kenderaan dipandu perlahan, ia akan mengeluarkan lebih banyak gas karbon dan ozon yang bercampur dengan zarah-zarah kotor dari asap jerebu. Kenderaan yang banyak di jalan raya di sesuatu kawasan turut menyumbang indeks pencemaran udara yang lebih tinggi.”
Malah zarah kotor dalam udara boleh mendatangkan risiko kerosakan dalam paru-paru sekali gus memberikan impak berbahaya terhadap kesihatan.
Junaidi turut berkata, “Jika tidak penting, kurangkan penggunaan kenderaan kerana ia boleh menambah pencemaran udara.”
Jerebu yang sedang teruk melanda Malaysia, Singapura dan telah merebak hingga ke Filipina serta Thailand, ini adalah akibat pembakaran secara besar-besaran hutan di beberapa bahagian Indonesia.
Junaidi turut berkata pembenihan awan yang dilakukan sedikit sebanyak mampu mengelak jerebu bertambah teruk. Dan usaha pemadaman kebakaran tersebut kian rancak dijalankan, namun diramalkan jerebu bakal berterusan sehingga awal tahun hadapan.
Sila klik pautan ini untuk PANDUAN MEMANDU KETIKA JEREBU.