Mazda CX-3 mulakan produksi di Kilang AAT di Thailand
Mazda telah mengesahkan produksi bagi model CX-3 telah pun bermula di Kilang AutoAlliance (AAT) di Thailand semalam. Ia berkongsi barisan produksi dengan model Mazda 2, Ford Fiesta, Ford Everest, Ford Ranger dan Mazda BT-50.
Kilang AAT yang terletak di Rayong, Thailand ini merupakan kilang pemasangan kedua bagi CX-3 selepas kilang fasilitinya di Hiroshima.
Menurut Pengawai Eksekutif Pengurusan Mazda, Kiyotaka Shobuda, “AAT merupakan hab yang paling penting yang menggabungkan sistem Mazda untuk memasang CX-3 dengan segera dan konsisten memandangkan pasaran SUV kompak ini semakin meningkat.”
Bagi pasaran Malaysia, CX-3 dijadualkan bakal dilancarkan pada awal Disember ini, manakala penghantarannya dijangka bermula pada pertengahan bulan tersebut. Berita ini disahkan sendiri oleh Bermaz Motor. Manakala harganya pula dijangka bakal menyaingi Honda HR-V iaitu antara RM130k hingga RM135k.
Varian yang dijangka bakal tiba ke Malaysia ialah model pacuan roda-hadapan dan tidak dilengkapi dengan teknologi keselamatan i-Activsence yang dibangunkan sendiri oleh Mazda. Malah kebarangkalian pasaran kita bakal menerima varian yang dipadankan dengan enjin 2.0 liter SkyActiv-G (150hp/204Nm) dengan padanan transmisi automatik enam-kelajuan.