Tokyo 2015 : Honda Clarity Fuel Cell tampil secara perdana
Honda Clarity Fuel Cell telah melakukan penampilan sulungnya dalam Tokyo Motor Show 2015 mulai hari ini. Kenderaan sel bahan api (FCV) ini bakal diproduksi tidak lama lagi.
Model sedan ini dijangka mampu memberikan penanda aras baharu bagi segmen FCV kini dan pada masa yang akan datang.
Menurut Presiden & CEO Honda, Takahiro Hachigo, berkata, “Sejak 13 tahun yang lalu, Honda menjadi pengeluar kenderaan pertama di dunia yang memfokuskan pembikinan kenderaan sel bahan api. Objektif utamanya ialah untuk menangani masalah persekitaran global. Kelahiran Clarity Fuel Cell turut dianggap sebagai “kenderaan penumpang luar biasa” yang turut menampilkan prestasi kuasa yang mengagumkan serta pemanduan yang menyeronokkan.”
Mengadaptasikan teknologi Honda sepenuhnya, komponenan bagi sel bahan apinya telah dikurangkan sebanyak 33% berbanding dengan model sebelumnya. Namun ia mampu menghamburkan kuasa maksimum melebihi 100kW dan kuasa ketumpatan sebanyak 3.1 kW per liter. Di mana ia telah ditambah baik sehingga 60%.
Tangki hidrogen ketahanan tinggi bagi Clarity Fuel Cell ini ialah 70MPa. Manakala storan tenaga bagi FCV ini menggunakan bateri Lithium-ion.
Clarity Fuel Cell hanya mengambil masa selama 3 minit untuk pengisian semula bahan api dan mampu pergi sejauh melebihi 700 km bagi satu tangki penuh.
Penjana kuasa sel bahan api ini juga diperbuat dengan lebih kompak, sama seperti enjin V6. Malah ia boleh disimpan di bawah hud model sedan ini dan ia seumpamanya yang pertama di dunia. Sekali gus membuktikan satu lagi pencapaian cemerlang oleh Honda Motor Co., Ltd.
Bentangan bagi penjana kuasa ini membolehkan Clarity Fuel Cell mampu membawa lima penumpang dewasa dalam satu masa.
Sebagai tambahan, dengan gabungan penjana kuasa luaran mudah alih iaitu Power Exporter 9000, Clarity Fuel Cell boleh dianggap sebagai “loji kuasa pada roda” bagi menghasilkan dan menyalurkan kuasa elektrik apabila diperlukan termasuklah dalam keadaan kecemasan seperti bencana alam dan sebagainya.
Clarity Fuel Cell akan dijual pada harga 7.66 juta Yen (RM271, 950) mulai Mac 2016. Ia akan memulakan produksi dengan skala yang kecil di Production Supervisory Unit & Powertrain Production Supervisory Unit yang terletak di Takanezawa-machi, Tochigi.