Tokyo 2015 : Honda Civic Type R dilancarkan untuk pasaran Jepun – Terhad hanya 750 unit
Tidak sah sekiranya ia tidak dijual di negara asal pembuatnya, Jepun. Selepas menembusi pasaran Amerika Utara, sudah pasti Honda mahukan Honda Civic Type R 2016 dijual di pasaran Jepun pula.
Semalam, jentera hot-hatch ini telah pun dilancarkan di negara matahari terbit ini sempena Tokyo Motor Show 2015.
Ia digambarkan sebagai “model Type paling ekstrem dan paling berprestasi tinggi yang pernah dibangunkan”.
Sama seperti di Amerika Utara, Civic Type R ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter turbo yang mampu menyalurkan kuasa sehingga 310 PS dan tork 400 Nm antara 2,500 dan 4,500 rpm.
Enjin ini turut ditampilkan dengan pengecas turbo baharu, yang bekerjasama dengan sistem Variable Timing and Lift Electronic Control (VTEC) dan Dual-Variable Timing Control (VTC) ciptaan Honda.
Penjana kuasa ini juga turut berpadu tenaga dengan kotak gear manual enam-kelajuan, yang membolehkan jentera ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 5.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum sehingga 270 km/j.
Bagi imej luarannya, sudah pasti ia memang cukup memukau dengan bentangan gaya sporty yang kelihatan serba sempurna. Ia direka dengan permukaan yang lebih luas bagi bingkai utamanya bagi menambah kemantapan bahagian casis.
Bahagian belakangnya turut dilengkapi dengan ‘wing’ yang besar dengan dapra yang diberi penambah baikan bagi kestabilan yang lebih mantap.
Untuk bahagian spoiler hadapan, sill sisi dan peresap belakang menyumbangkan lagi imej yang lebih menyerlah. Ia juga membantu menyalurkan lagi ciri aerodinamik yang sesuai dengan kestabilan ketika dalam pemanduan berkelajuan tinggi.
Menjengah kabinnya, ia dipadankan dengan tempat duduk upholstery berwarna hitam dengan kekemasan merah, roda stereng eksklusif Covic Type-R dengan logo Honda di bahagian tengahnya. Selain itu, ia dilengkapi dengan paparan pelbagai informasi yang menyalurkan maklumat pemanduan.
Walau bagaimana pun, untuk pasaran Jepun, Honda hanya mengehadkan jualan sebanyak 750 unit sahaja bagi jentera ini. Ia dijual pada harga 4,280,000 yen (RM151,313).