PLUS keluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sempena Deepavali
Sempena dengan perayaan Deepavali yang bakal disambut pada 10 November ini, PLUS Malaysia Malaysia (PLUS) menasihatkan orang ramai yang ingin pulang bercuti pada hujung minggu ini supaya merancang perjalanan mereka berdasarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan oleh PLUS.
“PLUS menjangkakan jumlah kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan akan meningkat sebanyak 8% iaitu sebanyak 1.4 juta kenderaan sehari pada waktu puncak menjelang cuti perayaan Deepavali berbanding dengan hari biasa iaitu sebanyak 1.3 juta kenderaan,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi.
Mengikut jadual TTA, pengguna jalan raya dari ibu negara ke Kangar, Alor Setar, Johor Baharu dan Kota Tinggi disaran memulakan perjalanan bermula pukul 6 pagi hingga 8 pagi.
Bagi yang menuju ke Kepala Batas, Butterworth, Georgetown, Bayan Lepas, Batu Pahat, Segamat dan Muar disaran bergerak pada pukul 8 pagi hingga 11 pagi.
Pengguna jalan raya dari Lembah Klang menuju ke Bidor, Tapah, Teluk Intan, Lumut, Tanjung Malim, Kuala Pilah, Port Dickson dan Seremban pula disaran memulakan perjalanan selepas pukul 6 petang.
Untuk yang ke Taiping, Kuala Kangsar, Gerik, Jasin dan Bandaraya Melaka dinasihatkan memulakan perjalanan antara 11 pagi dan 2 petang.
Pengguna jalan raya daripada Kangar, Alor Setar, Johor Baharu dan Kota Tinggi ke ibu negara dinasihatkan memulakan perjalanan pada pukul 6 pagi hingga 8 pagi.
Mereka dari Kepala Batas, Butterworth, Georgetown, Bayan Lepas, Ipoh, Batu Pahat, Segamat, Muar dan Alor Gajah menuju ke ibu negara pula disaran memulakan perjalanan antara 10 pagi hingga 2 petang.
Bagi pengguna jalan raya daripada Taiping, Kuala Kangsar, Gerik, Bidor, Tapah, Teluk Intan, Lumut, Tanjung Malim, Jasin, Bandaraya Melaka, Kuala Pilah, Port Dickson dan Seremban, PLUS menyarankan mereka pulang ke Lembah Klang pada pukul 6 petang hingga 12 tengah malam.
TTA yang dikeluarkan oleh PLUS pada cuti musim-musim perayaan dan hari-hari puncak telah berjaya membantu mengurangkan kesesakan di lebuh raya.
Oleh itu, PLUS menasihatkan supaya orang ramai yang bercadang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan bermula 6 November ini sehingga 15 November akan datang supaya mematuhi TTA yang dikeluarkan.
TTA merupakan jadual perjalanan berperingkat bagi destinasi-destinasi tertentu di lebuh raya kendalian PLUS. Ia dikeluarkan sebagai salah satu daripada strategi PLUS untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan orang ramai daripada terperangkap di dalam kesesakan di laluan utama, kawasan rehat dan plaza tol.
Dalam pada itu, PLUS juga menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat trafik terkini dengan menghubungi talian bebas tol PLUSLine 1800 88 0000, mengikuti laman Twitter PLUSTrafik atau memuat turun aplikasi ‘PLUS Mobile’ menerusi telefon pintar atau tablet masing-masing.