Volkswagen Golf GTE versi plug-in hibrid cukup impresif!
Ternyata khabar angin yang disebarkan di dalam industri automotif global sejak sebulan lalu mengenai Volkswagen bakal ‘melahirkan’ adik baharu di dalam keluarga Golf MK7 adalah benar belaka. Menyertai adik-beradiknya iaitu GTI, GTD dan R, kini bakal muncul pula Volkswagen Golf GTE, yang akan dipamerkan di Geneva Motor Show pada minggu pertama Mac ini.
Apa yang menariknya tentang model hot-hatch ini sehingga ia begitu diperkatakan? Nah! Ini alasannya…
Volkswagen telah menambah kuasa plug-in hibrid untuk dijanakan bersama enjin 1.4 liter TSI empat silinder pengecas turbo yang mampu menghasilkan kuasa 148hp dengan 101hp kuasa daripada motor elektrik. Sekali gus menawarkan kombinasi kuasa 201hp dan tork 349Nm. Ia juga dipadankan dengan transmisi DSG enam kelajuan yang direka khas bagi aplikasi hibrid.
Kuasa yang dimiliki oleh Golf GTE ini membolehkan jentera hot-hatch ini dipecut daripada titik sifar sehingga 100km/j dalam hanya 7.6 saat dengan kadar kelajuan tertinggi mencecah 217km/j!
Jika sebut saja kuasa plug-in hibrid, pastinya ia menawarkan penjimatan bahan api yang sungguh impresif. Maka kombinasi antara penggunaan bahan api disahkan mampu mencecah 67km per liter mengikut New European Driving Cycle (NEDC). Sekali gus memberikan tangki penuh bahan api GTE mampu merangkumi sehingga 933km jarak perjalanan dan menghasilkan 33g per kilometer bagi kadar pelepasan karbon dioksida.
Dalam mod elektrik sepenuhnya, GTE mampu bergerak sehingga 50km untuk sekali cas. Manakala untu mengecas bateri lilthium-ion 8.8kWh yang digunakan hanya mengambil masa selama tiga setengah jam untuk penuh dengan menggunakan soket domestik atau kurang daripada sejam jika menggunakan pengecas berkuasa tinggi di stesen pengecas khas.
Berkenaan dengan imejnya, Golf GTE ini sedikit berbeza dengan model GTI melalui perumah berbentuk C pada lampu pencahayaan siang LED (lebih kurang sama dengan model e-Golf). Turut dipadankan dengan rim aloi 18 inci “Serron” sebagai ciri standard.
Manakala rekaan dalamannya pula sama dengan model GTI kecuali kekemasan berwarna biru pada tombol gear, logo GTE dan jahitan pada roda stereng serta tempat duduknya.
Buat setakat ini, Golf GTE hanya ditawarkan dengan varian lima pintu sahaja.