BMW 3 Series baharu dinamik, sporty & praktikal – Harga antara RM209k – RM309k
BMW Group Malaysia hari ini memperkenalkan BMW 3 Series baharu iaitu generasi keenam yang tampil lebih menarik . Ia mempertaruhkan reka bentuk dinamik, kelincahan tiada tandingan dan praktikaliti untuk kegunaan pada setiap hari.
Ketika memperkenalkan BMW 3 Series baharu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai BMW Group Malaysia, Alan Harris berkata, “Selaku sedan sports premium terbaik, BMW 3 Series generasi keenam ini hadir bersama rekaan yang sangat menarik perhatian, dinamik yang luar biasa, kecekapan dan praktikaliti tiada tandingan.”
BMW 3 Series diperkenalkan dalam varian BMW 318i, BMW 320i, BMW 320d dan BMW 330i serba baharu yang dilengkapi Sport Line ekstra dinamik, Luxury Line yang eksklusif dan elegan serta M Sport Package yang cukup atletik.
Penampilan sedan sports premium serba baharu yang menarik perhatian ini turut dilengkapi dengan rangkaian kuasa yang lebih berkuasa dan efisien. Chasis dan suspensinya terus dioptimumkan, ruang kabinnya diperbaharui, di samping rangkaian teknologi BMW ConnectedDrive yang menerajui segmennya iaitu pertama dalam segmen premium di Malaysia.
BMW 3 Series baharu jelas menonjol di atas jalan raya dengan penampilan yang lebih sporty dan elegan berbanding model sebelumnya tetapi masih mengekalkan tradisi reka bentuk tradisi jenama BMW. Ia merangkumi bonet dan tapak roda yang panjang, bahagian belakang pendek serta ruang tempat duduk belakang yang selesa.
Rekaan luaran BMW 3 Series baharu yang sporty dan elegan itu dimulakan dengan lampu utama yang telah direka semula. Ia mendominasi bahagian hadapan untuk memberikan persembahan visual yang jelas tentang dinamik kereta ini.
Lampu isyarat membelok LED kini diposisikan sebagai “kening” pada bahagian atas lampu utama LED. Ia hadir sebagai satu ciri standard dan diintegrasikan dalam bentuk horizontal yang lebih menyerlah.
Bentuk lampu nyalaan siang LED pada kedua-dua belah sisi pula menonjolkan susunan lampu utama berkembar BMW.
Pada bahagian bawah lampu utama, terletak lampu kabus LED yang menjadi ciri standard untuk varian BMW 320i M Sport, BMW 320d M Sport dan BMW 330i M Sport.
Bahagian hadapan BMW 3 Series baharu terus menyerlahkan visual yang maskulin. Apron hadapan mempunyai ruang pengambilan udara sisi yang lebih besar. Sekali gus memberikannya gaya yang lebih menawan.
Rekaan belakang BMW 3 Series baharu tidak kurang menariknya dengan ampu belakang LED sepenuhnya yang menerima rekaan baharu disusun dalam bentuk “L” BMW yang tersendiri dan kini lebih melengkung.
Dua lampu isyarat membelok LED pula membentuk satu jalur cahaya horizontal pada seksyen lampu belakang. Ia menawarkan cahaya yang sekata dan konsisten.
Ia turut diserlahkan lagi menerusi paip ekzos berkembar bersaiz 70 millimeter pada varian BMW 320i, BMW 320d dan BMW 330i serba baharu. Manakala BMW 318i baharu pula menerima paip ekzos tunggal berdiameter 75 millimeter.
BMW 3 Series baharu juga hadir bersama rangkaian rim yang baru. BMW 318i Luxury Line dipasang dengan rim aloi ringan multi-jejari bersaiz 17”. BMW 320i Sport Line dengan rim aloi ringan multi-jejari V bersaiz 17”.
BMW 320i M Sport dan BMW 320d M Sport dilengkapi rim aloi ringan M bersaiz 18” dengan jejari Star. Sementara rim aloi ringan M bersaiz 18” jejari berkembar dipasang pada BMW 330i M Sport.
BMW 318i menjadi model BMW 3 Series pertama yang dibekalkan dengan enjin petrol tiga silinder yang memenangi anugerah enjin terbaik 2015. Enjin 3 silinder 1.5 liter BMW TwinPower Turbo yang inovatif itu berkongsi DNA sama dengan enjin petrol enam silinder sebaris BMW TwinPower Turbo yang telah memenangi pelbagai anugerah.
Ia berupaya menjana kuasa maksimum 136hp, tork 220Nm dan memecut dari 0-100km/j dalam masa 8.9 saat. Gabungan penggunaan bahan api BMW 318i bermula daripada 5.1 liter bagi setiap 100km dengan emisi C02 119g/km.
Kehadiran BMW 3 Series baharu juga menandakan penampilan premiere dunia enjin empat silinder 2.0 liter baru. Enjin tersebut dipasang pada varian BMW 320i dan BMW 330i serba baharu.
Ia menjanjikan keseronokan pemanduan yang maksimum, terima kasih kepada aspek hantaran kuasa dan maklum balas luas biasa pada kelajuan enjin yang rendah. Pada masa sama menawarkan penggunaan bahan api dan emisi yang minimum.
Enjin itu adalah sebahagian daripada rangkaian enjin BMW EfficientDynamics. Digunakan pada BMW 320i, ia mampu menjana kuasa 184hp, tork 290Nm dan pecutan dari 0-100km/j dalam masa 7.2 saat.
Untuk varian 330i pula, hamburan kuasanya mencecah 252hp dengan tork maksimum 350Nm serta berupaya memecut dalam masa cuma 5.8 saat dari 0-100km/j.
Purata bacaan penggunaan bahan api BMW 320i dan BMW 330i adalah 5.58 dan 6.1 liter bagi setiap 100km. Manakala tahap emisi C02 pula adalah 128g/km daripada BMW 320i dan 143g/km untuk BMW 330i.
BMW 320d menampilkan enjin diesel 4-silinder terkini yang menawarkan keseronokan pemanduan maksimum dengan output kuasa 190hp dan tork puncak 400Nm. Ia juga memberikan kuasa pecutan mengagumkan iaitu 7.2 saat dari 0-100km/j dengan penggunaan bahan api hanya 4.0 liter bagi setiap 100km, manakala emisi C02 berada pada tahap 106g/km.
Selain daripada enjin baharu yang berkuasa dan menjimatkan bahan api, fungsi Automatic Start/Stop dan Brake Energy Regeneration turut memastikan BMW 3 Series bukan sahaja menawarkan prestasi sporty BMW.
Penjimatan bahan api ditingkatkan lagi dengan mode ECO PRO yang boleh dipilih menggunakan suis Driving Experience Control.
Satu lagi komponen penting dalam mengurangkan emisi CO2 ialah transmisi Steptronic lapan-kelajuan baharu bersama sistem navigasi. Sistem rangkaian kuasa jangkaan tambahan ini boleh diaplikasikan untuk mengurangkan lagi penggunaan minyak dan emisi.
BMW 3 Series baharu juga memiliki suspensi yang lebih keras, terima kasih kepada talaan terbaik sistem peredamnya. Hasilnya, ia memberikan sistem stereng yang tepat dan lebih sensitif dengan maklum balas daripada permukaan jalan.
Chasis yang telah ditambah baik secara keseluruhan itu juga menawarkan pengalaman pemanduan lebih dinamik. Keupayaannya ketika mengambil selekoh turut ditingkatkan, pada masa sama mengekalkan keselesaan yang tiada tandingannya.
Ciri sporty BMW 3 Series baharu boleh dijelaskan lagi menerusi suspensi M Sport yang dipasang pada varian BMW 320i M Sport dan BMW 320d M Sport baharu.
Manakala Suspensi Adaptive M Suspension digunakan pada BMW 330i M Sport serba baharu.
Ruang kabin BMW 3 Series baharu sememangnya menyerlahkan garis-garis yang dinamik dan elegan rangkaian model sporty ini. Kokpit yang berorientasikan kepada pemandu sudah menjadi ciri signatur BMW. Ia menawarkan akses optimum kepada semua fungsi penting pemanduan.
Tahap ergonomik BMW 3 Series baharu yang luar biasa ditingkatkan lagi dengan kemasan krom pada suis kawalan dan corong pendingin hawa.
Sementara permukaan yang berkilat pada konsol tengah kelihatan semakin mewah. Dengan pilihan pakej pencahayaan dalaman, lampu ambien akan dipasang di bahagian atas butang kawalan pada konsol tengah.
Di dalam BMW 3 Series baharu, BMW ConnectedDrive membuktikan keupayaannya sekali lagi dengan ciri keselamatan, keselesaan dan infotaimen yang mengagumkan.
Navigation System Professional generasi terkini pada BMW 320d dan BMW 330i M Sport serba baharu menawarkan start-up, pengiraan laluan pantas dan visualisasi 3D yang lebih realistik di kawasan urban.
Head-Up Display warna penuh dan beresolusi tinggi juga ditawarkan sebagai satu ciri standard pada BMW 330i M Sport serba baharu. Paparan ini memaparkan semua maklumat penting seperti kelajuan, arahan navigasi, had pecutan dan banyak lagi pada posisi pandangan pemandu yang optimum.
Ciri tambahan Services & Apps yang ditawarkan pada BMW 3 Series baharu termasuklah BMW Online Office. Ia menggunakan kad SIM untuk membolehkan penumpang membaca, menulis dan menghantar e-mel dari dalam kenderaan.
Portfolio aplikasi dan perkhidmatan BMW ConnectedDrive turut merangkumi aplikasi telefon pintar seperti Audible, Deezer, GoPro dan Spotify.
BMW 318i Luxury Line serba baharu hadir dalam warna Alpine White, Black Sapphire, Mineral Grey, Imperial Blue dan Platinum Silver.
BMW 320i Sport Line didatangkan dalam warna Alpine White, Mineral Grey, Glacier Silver, Melbourne Red dan Mediterranean Blue.
Sementara BMW 320i M Sport, BMW 320d M Sport dan BMW 330i M Sport serba baharu tampil menawan dalam warna Alpine White, Black Sapphire, Mineral Grey, Glacier Silver dan Estoril Blue.
Pilihan warna upholsteri kulit Dakota pula termasuklah hitam, coklat dan hitam Oyster.
BMW 3 Series baharu ini akan berada di semua pengedar sah BMW di seluruh Malaysia mulai 21 November 2015.
Harga atas jalan (tanpa insurans) yang ditawarkan adalah seperti berikut :
BMW 318i Luxury Line – RM208, 800
BMW 320i Sport Line – RM238, 800
BMW 320i M Sport – RM258, 800
BMW 320d M Sport – RM268, 800
BMW 330i M Sport – RM308, 800
BMW 318i Luxury Line
BMW 320i Sport Line
BMW 320d M Sport
BMW 330i M Sport