Mazda CX-3 menanti detik pelancaran di Malaysia
NST-MAI ASEAN Auto Show 2015 yang sedang berlangsung sekarang di Mines International Exhibition & Convention Centre turut menyaksikan penampilan khas model SUV crossover Mazda CX-3.
Ia turut dijangka bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada 8 Disember ini dengan harga antara RM130,000 hingga RM135,000.
Bagi pasaran Malaysia, difahamkan, CX-3 ini bakal dijanakan oleh enjin SkyActiv-G 2.0 liter petrol dengan kuasa 150 hp dan puncak tork 204 Nm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan. Kuasanya hanya disalurkan pada roda hadapan, ini bermakna tiada sistem AWD disertakan.
Bagi pasaran Malaysia, ia dipasang di Kilang AutoAlliance (AAT) di Thailand.
Varian yang dijangka bakal tiba ke Malaysia ialah model pacuan roda-hadapan dan tidak dilengkapi dengan teknologi keselamatan i-Activsence yang dibangunkan sendiri oleh Mazda.
Mazda CX-3 ini membawakan imej rekaan Kodo, ciptaan Mazda sendiri. Ia turut dilengkapi dengan lampu utama projektor LED dengan kawalan lampu tinggi dan lampu nyalaan siang LED dan roda bersaiz 18-inci.
Pada bahagian kabinnya, ia dilengkapi dengan kekemasan kulit berwarna hitam dengan kombinasi fabrik serta unit multimedia MZD Connect berserta skrin paparan bersaiz tujuh-inci.
Selain itu, ia turut menampilkan bumbung matahari, pedal penukar gear, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin dan heads-up display (HUD).
Bagi aspek keselamatan, CX-3 ini turut dilengkapi dengan enam beg udara, berserta beberapa ciri standard termasuk Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), kawalan cengkaman, ABS, EBD, bantuan brek dan bantuan mula mendaki.