Toyota Innova 2016 diperkenalkan secara rasmi di Indonesia
Toyota Innova 2016 telah pun diperkenalkan secara rasminya di Indonesia. Lebih dikenali sebagai Toyota Kijang Innova di negara berkenaan, MPV ini menerima penambah baikan imej yang lebih signifikan.
Di negara berkenaan, Kijang Innova ini bakal ditawarkan dengan tiga varian iaitu G Type, V Type dan Q Type. Ia turut ditawarkan dengan dua pilihan enjin.
Bagi enjin petrol 2.0 liter Dual VVT-i 1TR-FE empat-silinder, ia mampu memberikan kuasa sehingga 139 PS pada 5,600 rpm dan tork 183 Nm pada 4,000 rpm (lebih 3 PS/1 Nm berbanding model terdahulu).
Selain itu enjin diesel baharu iaitu 2GD-FTV yang turut dipadankan pada Hilux, turut ditawarkan. Enjin 2.4 liter empat-silinder turbodiesel ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 149 PS pada 3,400 rpm dan tork sehingga 359 Nm di antara 1,200 dan 2,600 rpm.
Kedua-dua enjin tersebut turut dipadankan dengan transmisi manual lima-kelajuan atau automatik enam-kelajuan dengan manual sequential shifting (bagi menggantikan automatik empat-kelajuan).
Berkenaan dengan imej yang dipertaruhkan, Innova baharu ini tampil dengan rekaan yang lebih diperkemaskinikan. Dengan penampilan gril hadapan yang lebih menyerlah bersama kekemasan krom tebal melintang.
Gril tersebut turut disambungkan dengan lampu utama projektor LED bersama lampu nyalaan siang LED bagi varian Q Type. Varian G dan V hanya dipadankan dengan lampu utama halogen reflektor.
Varian Q Type juga dipadankan dengan rim aloi bersaiz 17-inci, manakala bagi Q Type dan V Type pula hanya 16-inci.
Bagi bahagian belakang, lampunya lebih besar dengan kluster yang lebih dipanjangkan. Ia turut ditampilkan dengan spoiler belakang bersama perumah lampu brek ketiga.
Manakala bagi bahagian kabin, ia menawarkan ruang tempat duduk berkapasiti 8 penumpang. Bagi Q Type, tempat duduk barisan kedua ditawarkan dengan ‘kerusi kapten’ balutan fabrik upholsteri dengan paten zebra.
Papan pemuka Innova baharu ini pula lebih kontemporari. Dengan roda stereng tiga-jejari bersama butang kawalan, ia turut dilengkapi dengan kluster instrumen baharu dengan paparan TFT berwarna pelbagai info bagi varian V dan Q Type.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan penghawa dingin kawalan automatik bago V Type dan Q Type. Malah elemen tambahan bagi Q Type, ia turut dipadankan dengan skrin sesentuh bersaiz lapan-inci bagi sistem hiburan dengan sambungan Miracast dan HDMI.
Ia turut didatangkan dengan mod pemanduan Eco,Normal dan Power.
Bagi aspek keselamatannya, ia turut dilengkapi dengan empat beg udara, ABS, EBD dan cagak Isofix untuk kesemua varian. Tambahan bagi varian Q Type diesel, ia tampil dengan tujuh beg udara, Bantuan Mula Mendaki dan Kawalan Kestabilan Elektronik.