Perodua Alza pilihan terbaik untuk bajet sederhana
Sejak dilancarkan pada 10 Januari yang lalu, jumlah tempahan bagi Perodua Alza 2014 menghampiri angka 10,000. Satu pencapaian yang membanggakan buat Perodua yang turut mendominasi pasaran kenderaan pada tahun lalu.
Maka, tidaklah hairan jika kebarangkalian tahun ini Perodua bakal mengulangi kejayaan yang sama. Apatah lagi dalam tahun ini juga Perodua mengesahkan bakal memperkenalkan satu lagi model baharu.
Ok kita tinggalkan kisah model baharu yang masih menjadi tanda tanya itu.
Mari bercerita mengenai Perodua Alza pula.
Atas permintaan ramai, Info Kereta membawakan ulasan pandu uji Alza 2014 yang boleh dijadikan sebagai panduan bagi anda yang mencari-cari kenderaan baharu untuk kegunaan seisi keluarga.
Perodua mendakwa Alza ini lebih daripada kenderaan sedan dan bukan sekadar MPV. Seperti mana yang diwar-warkan menerusi slogannya, “More than a sedan, more than an MPV” di dalam setiap iklan promosinya. Lantas membuatkan penulis begitu ingin mengetahui apakah tunggak kekuatan bagi Alza ini.
Difahamkan, produksi Alza adalah hasil gabungan kehebatan sedan dan MPV. Walau pun ia boleh dikategorikan sebagai MPV bersaiz kecil, Alza boleh memuatkan tujuh penumpang di dalam satu masa.
Alza 2014 didatangkan dengan tiga varian iaitu standard (manual/auto), SE (manual/auto) dan Advanced Version (auto). Untuk sesi pandu uji ini, penulis diberi peluang mencuba varian Advanced Version.
Daripada sudut mekanikalnya, tiada sebarang perubahan yang dilakukan. Masih mengikut acuan model sebelum ini. Ia dijanakan oleh enjin 1.5 liter DVVT dan mampu menghasilkan kuasa maksimum 104 PS dan puncak tork 136 Nm.
Bagi anda yang mungkin pernah mengendalikan model Alza sebelum ini, pastinya sudah tahu cara jentera ini ‘bermain-main’ di atas jalan raya. Untuk anda yang tidak pernah ada pengalaman mengendalikan Alza, ini sedikit cerita yang boleh dikongsi bersama.
Pandangan secara kasar, biarkan bertubuh kecil tetapi panjang sedikit daripada Myvi, sebenarnya Alza memang mudah untuk dikendalikan.
Alza tiada masalah untuk dipacu laju dan mudah mencapai kelajuan sehingga 140km/j. Tetapi jika kelajuan lebih daripada itu, ia memang agak kurang praktikal dan terasa gegaran seperti kurang stabil. Mungkin kerana saiznya yang molek dan panjang sedikit membuatkan ia seakan ringan dan mudah melambung. Jadi secara teorinya, jelas Alza lebih sesuai untuk pemanduan yang santai sahaja.
Untuk memotong kenderaan lain, ia juga tidak mendatangkan masalah. Malah ia juga mudah untuk mencelah-celah di antara kenderaan lain kerana saiznya itu. Namun jika melalui jalan berbukit, rasanya anda tidak perlu menggunakan lorong kanan kerana tahap kelajuan Alza seperti sedikit terbatas. Anda perlu menekan lebih pedal pendikit untuk memerah kuasanya dan ketika itu jelas kedengaran ngauman enjinnya meresap ke dalam kabin.
Berkenaan dengan transmisi auto seperti mana yang dipadankan bagi varian Advanced Version ini, ia masih terasa lancar biar pun hanya empat kelajuan. Ketika gear satu dan dua masuk secara automatik, terasa sedikit sentakan. Namun bila gear memuncak ke tiga dan empat, tidak terasa pertukarannya.
Mengenai pengendaliannya pula, penulis terasa sedikit berat di dalam kawalan roda sterengnya. Walau pun menggunakan stereng berkuasa, namun perlu ‘sedikit gigih’ memutarnya terutama jika mahu membuat pusingan U atau pun mahu memasuki petak parkir. Tetapi ia tidaklah sampai menjejaskan keseronokan mengendalikan Alza ini.
Kalau bercerita mengenai sistem suspensi, ia hanya pada tahap sederhana. Padanan MacPherson strut dengan gegelung spring pada bahagian hadapan dan topang torsion juga dengan gegelung spring untuk belakang membantu mengoptimakan kuasa suspensi. Olengan badan juga tahap sederhana dan kesan hentakan jika terlanggar lubang juga kurang dirasai.
Penulis sempat bertanya pada rakan yang duduk di bahagian barisan kedua dan ketiga tempat duduk belakang. Adakah mereka berasa selesa terutamanya jika Alza ini melalui permukaan jalan yang beralun. Ungkap mereka, agak kurang selesa jika berada di barisan ketiga kerana terasa sedikit membuai. Tetapi ia tidak berlaku jika duduk di barisan kedua, terasa seperti berada dalam sebuah kereta sedan, kata mereka.
Manakala sistem brek yang digunakan iaitu cakera brek dengan booster di bahagian hadapan dan brek dram di belakang cukup responsif bila diperlukan. Alza juga menggunakan brek parkir bagi menggantikan brek tangan seperti mana model sebelumnya.
Kalau mengikut ‘cara’ segelintir rakyat Malaysia, masih ramai yang melihat paras rupa kenderaan yang masuk dalam senarai pilihan. Terutamanya kaum wanita yang sebenarnya mempunyai lebih kuasa membeli dan membuat pilihan. (Tak percaya? Ok, bro sila tanya isteri/pasangan anda jika ingin membeli kenderaan, bagaimanakah penilaian yang dibuat?). Jika seseorang itu mementingkan prestasi pemanduan dan pengendalian, pasti spesifikasi mekanikal yang dilihat terlebih dahulu.
Penulis mahu kaitkan persoalan tersebut dengan Alza yang baharu dilancarkan ini. Kerana bagi penulis, ia lebih menang pada gaya terutamanya varian Advanced Version ini. Sekilas pandang, boleh jatuh cinta juga dibuatnya kerana ia tampil dengan imej yang sedikit ranggi dan sporty berbanding dengan model terdahulu.
Apa yang menarik perhatian?
Sudah pasti elemen baharu yang ditampilkan pada kerangkanya dan juga kekemasan dalaman. Disebabkan tiada perubahan mekanikal, maka sudah pasti Perodua perlu menitik beratkan suntikan rekaan dalaman dan luaran yang lebih segar.
Sekali pandang, pada bahagian hadapan Alza ini kelihatan seperti Perodua Myvi model terkini. Dengan bampar dan jeriji baharu yang sedikit tebal dan lampu utama projektor membujur tanpa suar (blinker). Malah lampu isyarat dan lampu belakangnya berlensa cerah.
Pada bahagian belakang pula, terdapat lingkaran berwarna hitam yang mengelilingi cermin belakang. Dan lambang Perodua dan Alza terletak pada bahagian bawah lingkaran tersebut.
Untungnya varian Advanced Version kerana dipadankan dengan kit badan yang tampil sporty iaitu bampar hadapan dengan skirting, spoiler bahagian belakang yang menampilkan ciri-ciri aerodinamik, bampar belakang yang menampakkan jentera ini lebih mempesona dan kehadiran rim aloi bersaiz 15 inci dengan kekemasan titanium pastinya menarik pandangan.
Manakala bagi rekaan dalamanya juga diberikan sedikit sentuhan baharu. Antaranya rekaan meter kluster yang lebih stylish, tempat letak lengan di bahagian konsol tengah antara tempat duduk pemandu dan penumpang di sebelah yang turut berfungsi sebagai ruang storan, penyambung bagi ISOFIX, kekemasan ruang kabin dengan dua tona warna hitam dan kelabu menawan.
Namun rekaan pada papan pemukanya termasuk butang kawalan tidak ada perubahan. Walau bagaimana pun, varian Advanced Version turut menampilkan sistem multimedia baharu termasuk monitor pada bumbung bahagian dalaman dan sistem navigasi yang dilengkapi dengan skrin sesentuh LCD bersaiz enam inci yang turut memaparkan fungsi kamera undur.
Mengenai sistem multimedia yang terdapat di dalam varian ini, penulis turut menguji keberkesanan sistem navigasinya. Ia mudah dikendalikan dan boleh dikatakan agak efektif.
Untuk ruang dalaman Alza, ia hanya sederhana luas bagi MPV bersaiz kecil ini walau pun boleh memuatkan tujuh penumpang dalam satu masa. Malah tempat duduk balutan kulit juga ditampilkan pada Advanced Version memberikan keselesaan yang lebih optimum.
Rakan penulis juga mengajukan soalan, mengapa tiada penghawa dingin khas di bahagian barisan ketiga? Penulis berpendapat, ini mungkin melibatkan soal kos, maka corong penghawa dingin hanya berada di bahagian depan (dan berharap agar hawa dingin dapat dirasai sehingga ke belakang).
Itu cuma secebis kekurangan mengenai Alza ini.
Namun, untuk varian terbaharu ini, Perodua tetap menekankan aspek keselamatan. Di mana Alza baharu yang menerima pengiktirafan empat bintang daripada ASEAN NCAP turut dilengkapi dengan beg udara berkembar, ABS, EBD, dan Bantuan Brek (BA). Ia juga ditampilkan dengan lapisan pelindung keselamatan dan solar bagi cermin hadapan, belakang dan keempat-empat pintunya.
Secara konklusi mengenai penampilan Alza baharu ini, penulis boleh membuat kesimpulan, ia wajar dijadikan pilihan terutamanya bagi anda yang berkeluarga. Dengan harga RM64,000 untuk Advanced Version, ia memang berbaloi untuk dimiliki.
Namun jika anda memiliki bajet yang lebih sederhana, boleh juga memilih varian lain yang berharga antara RM52,400 hingga RM59,400. Pembelian Alza ini turut didatangkan dengan tiga tahun jaminan termasuk servis secara percuma.
Spesifikasi :
Enjin : 1.5 liter DOHC 16-injap dengan DVVT
Transmisi : Automatik 4-kelajuan
Kuasa maksimum : 104 PS @ 6,000rpm
Tork maksimum : 136 Nm @ 4,400rpm
Tayar : 185/55 R15
Kapasiti tangki bahan api : 42 liter
Warna pilihan : Ivory White, Ebony Black, Glittering Silver, Mystical Purple & Passion Red
27 Comments