Kia Cerato Koup kini di pasaran – Harga RM136k
Selepas prebiu pada Mei lalu, Kia Cerato Koup 1.6 T-GDI kini telah pun berada di pasaran Malaysia secara rasminya. Ia dijual pada harga atas jalan RM135,888 (termasuk insurans), iaitu agak rendah dari harga jangkaanya sekitar RM150,000.
Kia Cerato Koup yang dijanakan oleh enjin 1.6 liter Gamma T-GDI (Turbocharged Gasoline Direct Injection) yang mampu memberikan kuasa sehingga 204 PS dan tork setinggi 265 Nm.
Ia dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan, dan turut mempunyai mod manual bagi pemanduan yang lebih dinamik.
Cerato Koup ini mampu dipacu daripada 0-100 km/j dalam hanya 7.4 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum sehingga 222 km/j.
Kia mendakwa Cerato Koup ini mampu memberikan penjimatan bahan api sehingga 7.4 liter bagi setiap 100 km.
Tampil dengan imej yang lebih berbeza berbanding model sedan, Cerato Koup ini lebih bergaya dengan gril atas yang lebih nipis, gril bawah yang lebih besar dengan kekemasan gentian karbon tiruan, lampu kabus bulat besar, cermin sisi dan pemegang pintu berwarna hitam berkilat, lampu belakang yang lebih bersudut dan paip ekzos berkembar.
Pintunya juga lebih panjang bagi memudahkan penumpang masuk-keluar dan tali pinggang keselamatan hadapan yang boleh dipanjangkan.
Elemen standard yang turut ditampilkan termasuklah lampu utama xenon yang boleh dilaras sendiri dengan lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, rim aloi bersaiz 18-inci, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin dan kamera undur.
Selain itu, ia turut menampilkan pengesan parkir hadapan dan belakang, zon-berkembar kawalan suhu automatik dengan kluster ioniser, kluster LCD Supervision 4.2 inci, tempat duduk balutan kulit dengan fungsi pemanasan (untuk tempat duduk hadapan) dan bumbung matahari.
Manakala kit keselamatan yang ditampilkan ialah enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki dan Isofix, semuanya sama seperti model sedan.