Ford Escape 2017 didedahkan – Tampil dengan SYNC 3 & teknologi keselamatan baharu
Sempena Los Angeles Auto Show 2015 yang telah membuka tirainya hari ini, Ford turut mengambil kesempatan memperkenalkan model Escape 2017 iaitu versi facelift.
Walau pun hanya mengalami perubahan minipum, namun model crossover ini kelihatan lebih menawan berbanding model sebelumnya. Malah bahagian hadapannya juga kelihatan seperti model Edge.
Malah Ford turut menambah bidai gril aktif dan enam rekaan rim aloi yang lebih segar, selain menampilkan wajah baharu pada lampu belakang LED.
Selain itu, ia turut memberikan sedikit kelainan pada bahagian luaran termasuk pilihan Pakej Penampilan Sport untuk varian SE dan Titanium serta menawarkan tiga pilihan warna iaitu Canyon Ridge, White Gold dan Lightning Blue.
Pada bahagian kabinnya, banyak perubahan ditampilkan termasuklah padanan roda stereng baharu, ruang tengah yang dikonfigurasi semula, penambahan dua tempat letak cawan dan rekaan perehat tangan yang diperbaharui.
Malah brek tangan konvensional turut digantikan dengan brek parkir elektronik serta corong penghawa dingin yang dimodifikasi serta beberapa penambah baikan pada pilihan kekemasan.
Selain itu, Ford Escape 2017 ini turut didatangkan dengan sistem hiburan SYNC 3 yang disambungkan dengan aplikasi SYNC Connect bagi membolehkan pemiliknya menghidupkan enjin, mengunci/membuka puntu dan mengetahui tahap bahan api dari jauh.
SUV ini juga turut dilengkapi dengan teknologi bantuan dan keselamatan terkini termasuk kawalan kelajuan adaptif, bantuan parkir aktif yang dipertingkatkan, dan sistem kepekaan pemandu.
Manakala elemen termasuk informasi titik buta dengan kepekaan lintasan trafik, bantuan mula mendaki dan kawalan lampu tinggi automatik dikekalkan.
Di bawah hudnya, Ford Escape 2017 ini bakal dijanakan dengan enjin 1.5 liter EcoBoost (menggantikan enjin 1.6 liter) yang mampu menyalurkan kuasa sehingga 180 hp dan tork 250 Nm.
Manakala enjin 2.0 liter EcoBoost pula telah diberi penambah baikan dengan saluran kuasa sehingga 245 hp dan tork 374 Nm. Bagi enjin 2.5 liter pula, bakal memberikan kuasa sehingga 168 hp dan tork 230 Nm.
Ford turut menampilkan omboh (piston) baharu dan ekzos bersepadu yang diberi rekaan baharu bagi membantu escape 2017 ini menyalurkan bunyi, getaran dan kekasaran (NVH) yang lebih rendah.
Selain itu, dua enjin pengecas turbo ini dikatakan turut menyalurkan kecekapan bahan api antara 4-6% terutamanya dalam keadaan trafik di kawasan bandar.