Laluan persimpangan bertingkat LDP-TTDI ditutup 3 hari mulai esok
MMC Gamuda telah mengeluarkan kenyataan berhubung penutupan sementara persimpangan bertingkat Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)-Taman Tun Dr Ismail (TTDI) bermula esok sehingga Jumaat. Ini adalah bagi kelancaran kerja pemasangan peralatan elektrik di tembok jejambat Mass Rapit Transit.
Menurut MMC Gamuda, laluan itu akan ditutup dari 11 malam hingga 6 pagi setiap hari dan ini termasuk kedua-dua pusingan U untuk membelok ke LDP dan pusingan U untuk kembali ke Jalan Damansara.
Bagi pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur akan dihala ke TTDI melalui persimpangan bertingkat LDP dan pemandu kenderaan dari Kepong akan diarah melalui jejambat di TTDI dan membuat pusingan U di persimpangan LDP.
Dalam masa yang sama, penutupan selama dua bulan di persimpangan bertingkat TTDI dan sepanjang Jalan Damansara juga akan dilaksanakan. Ia bermula sabtu ini hingga 21 Jan tahun depan, antara 11 malam hingga 6 pagi setiap hari.
Penutupan ini bagi memudahkan jentera pembinaan untuk memasang kerja-kerja halangan dan kerja berkaitan untuk Stesen MRT TTDI.
Ia membabitkan pusingan U di TTDI dan jalan masuk ke Jalan Damansara dari SS2 yang akan dilakukan secara berperingkat.
Pemandu kenderaan di Jalan Damansara yang mahu membuat pusingan U untuk masuk ke jalan TTDI harus membelok ke kanan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Mohd Fuad dan melalui Jalan Datuk Sulaiman dan Jalan Leong Yew Koh.
Bagi pemandu kenderaan dari SS2 akan dilencongkan ke jejambat dan membuat pusingan U di persimpangan bertingkat Bandar Utama.