Honda Malaysia catat rekod jualan memberangsangkan hingga mencecah 500k unit
Honda Malaysia Sdn. Bhd. telah mengumumkan kejayaan pencapaian mereka melepasi pencapaian setengah juta unit jualan kenderaan di Malaysia.
“Sejak ditubuhkan di Malaysia pada tahun 2000, semakin hari Honda Malaysia telah meningkat pencapaiannya dan sehingga kita berjaya mencatat jualan sebanyak 500,000 unit. Ia telah memberi inspirasi bahawa kami telah memberikan kegembiraan kepada setengah juta pemilik kenderaan Honda di Malaysia. Terima kasih kepada semua pelanggan atas kepercayaan yang diberikan terhadap jenama kami,” ujar CEO & Pengarah Urusan Honda Malaysia, Yoichiro Ueno.
Gigih memperkenalkan pelbagai barisan model terkini atau yang diperbaharui, Honda cukup sinonim sebagai antara jenama kenderaan kegemaran di negara ini. Kepercayaan daripada rakyat Malaysia terhadap jenama ini adalah didorang faktor ia begitu mementingkan aspek keselamatan yang optimum, kualiti yang diyakini, menampilkan elemen dan teknologi yang terkini, serta mempunyai nilai bagi wang.
Tahun 2015 turut mencatatkan sejarah kejayaan buat Honda Malaysia. Awal tahun ini, Honda Malaysia telah memperkenalkan model SUV kompak, HR-V, yang berjaya menembusi pasaran tempatan dengan kegemilangan tersendiri. Model umpama ‘pisang goreng panas’ ini telah mencatatkan jualan sebanyak 16,115 unit sejak ia dilancarkan pada Februari lalu.
Ditambah pula dengan model-model lain yang turut menambah penjualan yang memberansangkan termasuklah Accord, City, Jazz, Civic, CR-V dan Oddysey.
City dan Civic merupakan antara penyumbang terbesar di dalam rekod setengah juta unit ini iaitu mencatatkan jualan sebanyak 209,056 unit dan 79,864 unit iaitu merangkumi 40% dan 15% daripada jumlah keseluruhan jualan.
Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, Honda Malaysia turut mengembangkan lagi rangkaian pengedarannya. Kini, Honda Malaysia telah pun mempunyai 86 wakil pengedar di seluruh Malaysia bagi memberikan perkhidmatan jualan dan selepas jualan kepada para pelanggan.
Malah sejak Honda Malaysia memulakan produksi di No.2 Line, kapasiti pengeluaran telah meningkat sehingga 100,000 unit sejak Januari 2014. Kemudian, pada Ogos tahun ini pula, Honda Malaysia telah membuka PDI Yard 3 baharu bagi menampung jumlah pengeluaran model CKD.
Malah syarikat ini juga telah memperluaskan operasi di Malaysia Timur dengan membuka hab logistik di Sabah dan Sarawak. Terbaru, Honda Malaysia telah membuka pejabat operasi serantau di Kota Kinabalu bagi kelancaran proses penghantaran kenderaan di Malaysia Timur.
Dari Januari hingga Oktober ini, Honda Malaysia telah mencatatkan jualan sebanyak 74,920 unit. Malah telah menerima tempahan tertinggi iaitu sebanyak 12,713 unit pada Oktober lalu. Honda Malaysia telah mensasarkan jualan tahunan sebanyak 85,000 unit bagi meneruskan syarikat ini mendahului segmen kenderaan Bukan-Nasional.
Ueno menambah, “Dengan kejayaan ini, Honda Malaysia akan meneruskan komitmen kami bagi mencapai matlamat untuk menjadikan jenama ini terus menjadi antara jenama kegemaran di Malaysia. Secara tidak langsung akan terus menghasilkan produk yang diingini oleh para pelanggan.”
Tahniah Honda Malaysia! Moga terus cemerlang, gemilang dan terbilang!