Penutupan lorong di sebelah Lebuhraya SPRINT sehingga 31 Dis ini
Mulai hari ini, sebuah lorong bersebelahan Lebuhraya SPRINT berhampiran Plaza Tol Damansara, ditutup selama 37 hari iaitu sehingga 31 Dis ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd menyebut, penutupan itu akan dilakukan dalam dua seksyen dengan seksyen pertama (Penutupan A) yang merupakan penutupan 24 jam iaitu penutupan satu lorong bersebelahan Lebuhraya SPRINT.
Sepanjang penutupan itu, satu lorong akan dibuka kepada kenderaan dari Kuala Lumpur menghala ke Petaling Jaya. Manakala dua lorong pula akan dibuka kepada kenderaan di Jalan 16/11 menghala ke Petaling Jaya.
Manakala seksyen kedua (Penutupan B) bagi tempoh antara 8 pagi hingga 4 petang, penutupan tambahan dilaksanakan serentak dengan Penutupan A.
Semasa penutupan itu satu lorong akan dibuka kepada kenderaan dari Kuala Lumpur menghala ke Petaling Jaya di Jalan 16/11 dan satu lorong akan dibuka di Lebuhraya SPRINT berhampiran Phileo Damansara.
Penutupan itu adalah bagi memudahkan kerja-kerja perparitan.