PANDU UJI: Peugeot 508 GT lebih berdinamik & efisien
Sebelum ini Infokereta.com pernah memandu uji Peugeot 508 THP iaitu dua minggu sebelum ia dilancarkan pada 28 Mei lalu.
Kali ini Peugeot Malaysia memberi kami peluang memandu uji varian 508 GT baharu pula.
Bagi varian 508 THP dan SW berkongsi penjana kuasa yang sama iaitu 1.6 liter THP pengecas turbo dengan Suntikan Terus Bahan Api empat-silinder sebaris DOHC VVT, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 163 hp pada 6,000 rpm dan tork setinggi 240 Nm antara 1,400 hingga 4,250 rpm.
Namun berbeza dengan 508 GT ini, ia dipadankan dengan enjin berkapasiti 2.2 liter empat-silinder sebaris dengan Turbodiesel DOHC 16-injap VVT. Ia mampu menyalurkan kuasa sehingga 206 PS pada 3,500 rpm dan puncak tork 450 Nm pada 2,000 rpm.
Dengan enjin yang lebih berprestasi, terjahan kuasa 508 GT memang tidak mengecewakan. Malah kuasanya tidak teragak-agak untuk dihamburkan, malahan pedal pendikit tidak perlu lebih dikerah. Ternyata enjinnya memang tidak kedekut untuk menyalurkan kuasa.
Apatah lagi dengan padanan kotak gear adaptif automatik dengan tiptronic enam-kelajuan yang cukup responsif. Tidak begitu terasa pergerakan gearnya, anjakannya ternyata lancar dan pantas.
Namun untuk mendapatkan feel yang lebih padu sewaktu mengendalikan 508 GT ini, penulis sengaja memilih mod Sport dengan bantuan kawalan pedal penukar gear. Namun sayangnya, ia seakan kurang memberikan pengendalian yang lebih agresif. Mirip kelemahannya dengan varian 508 THP.
Malah mod Sport seakan tidak begitu jauh berbeza dengan gear normal.
Jadi penulis senang mengendalikannya dengan mod pemanduan normal. Untung ia turut disertakan dengan pegecas turbo yang mampu membantu penjanaan kuasa yang lebih pantas.
Kalau diikutkan, enjin berkapasiti 2.2 liter ini memang sudah mencukupi, tetapi terjahan turbo membangkitkan lagi adrenalin dalam pemanduan. Bukan untuk menjelmakan semangat perlumbaan, tapi sekadar menikmati pengalaman pemanduan yang lebih menyeronokkan dan tidak terasa klise sahaja.
Bagi 508 GT ini, ia mampu dipacu dari 0-100km/j dalam hanya 8.4 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum sehingga 235 km/j.
Manakala penggunaan bahan apinya tercatat pada 5.7 liter per 100 km dan emisi CO2 sekitar 150g per km.
Malah dengan isian tangki penuh bahan api sejumlah 72 liter, Peugeot mendakwa ia boleh dipandu merangkumi 1,300 km. Cukup menjimatkan.
Walau pun mempunyai kapasiti enjin yang berbeza dengan 508 THP, namun pengendaliannya seakan memiliki persamaan. Memacu di lebuhraya memang cukup menyeronokkan terutamanya ketika melayan selekoh.
Namun keseronokannya lebih berganda apabila melenjannya di jalan yang lebih mencabar termasuk kawasan luar bandar, ia menyerlahkan lagi karakteristik 508 GT ini.
Olengan badannya agak minimal biar pun ketika merentasi selekoh dan permukaan jalan yang beralun. Padanan suspensi Double Wishbone dengan palang anti-olengan untuk bahagian hadapan dan multi-arm bersama gegelung helical dan penyerap pelbagai-injap di belakang, banyak membantu kestabilan dan serapan hentakan jentera ini.
Bagi sistem brek pula, gabungan cakera Ventilated di bahagian belakang dan cakera solid untuk belakang dianggap berpadanan dan mampu memberikan respons yang optimum termasuk ketika jentera terpaksa dibrek mendadak.
Berkongsi saiz ukuran dengan 508 THP iaitu 4,830 mm panjang, 1,456 mm tinggi dan 1,828 mm lebar serta jarak roda 2,817 mm, tidak sukar untuk mengendalikannya termasuk bab membuat pusingan U atau memarkirnya. Walau pun pada pandangan mata kasar, ia nampak ‘bagak’, tetapi tidaklah sampai sulit untuk mengendalikannya. Masih bersifat sederhana.
Tidak kompromi dengan aspek keselamatan, Peugeot memberikan barisan 508 baharu ini dengan enam beg udara, 3-poin tali pinggang keselamatan, dua Isofix, enam pengesan belakang (rear sensor) bagi memudahkan parkir dan undur (sebelum ini hanya ada empat pengesan belakang sahaja), serta ESP sebagai elemen standard termasuk ASR atau kawalan cengkaman, Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Bantuan Brek Kecemasan (EBA), selain ABS dan EBD.
Memperkayakan lagi aspek keselamatannya, ia turut ditampilkan dengan Sistem Pengesan Titik Buta (BLISS) yang membolehkan pemandu mengesan kehadiran kenderaan lain pada titik buta. Ia menampilkan empat pengesan iaitu di bahagian bampar hadapan dan belakang.
Selain itu, ia turut menampilkan Perimetric & Volumetric Alarm dan Bantuan Parkir Hadapan & Belakang Peugeot.
Selain sarat dengan elemen keselamatan, barisan model 508 baharu juga diperbuat dari struktur yang lebih konkrit dan ia turut mendapat penarafan lima-bintang daripada EURO NCAP.
Kalau ditanya, apakah yang paling menonjolkan bagi 508 serba baharu ini, jawapannya ialah imej yang dipertaruhkan. Ia memiliki sisi yang elegan, kontemporari dan sofistikated, menghasilkan ilusi pandangan yang menyenangkan. Sukar untuk berkata ‘tidak’ pada rekaan yang ditonjol, ia ibarat sempurna.
Rekaan hadapannya diserikan dengan penampilan lampu LED adaptif dengan rekaan baharu ditampilkan, malah ia kelihatan lebih menyerlah bersama padanan gril trapezoidal krom yang lebih nipis, disambungkan pada logo singa (sebelum ini ia terletak pada bahagian hujung bonet) dan corong udara juga berbentuk baharu. Ia disambungkan pada lampu nyalaan siang LED dan lampu kabus LED turut menyerlahkan lagi gayanya.
Profil sisinya juga menonjolkan sentuhan yang lebih mewah dengan garisan aerodinamik serta padanan rim aloi bersaiz 19-inci yang dibaluti tayar 235/40R19 (berbanding varian THP dan SW yang hanya 18-inci).
Manakala bampar pada bahagian belakang turut direka semula dan bersaiz sedikit besar, umpama semangat baharu yang ingin ditonjolkan. Lampu LED dengan rekaan yang telah diperkemaskinikan dan paip ekzosnya juga kelihatan tersembunyi dek kehadiran bar krom yang turut menjadi bingkai pada reflektor. Pintu belakang juga boleh dibuka secara elektronik.
Berbeza dengan rekaan kabinnya, ia tidak banyak perubahan yang ditampilkan berbanding model terdahulu.
Walau bagaimanapun, alat kawalan umpama iDrive yang dipaparkan di bahagian tengah pada model sebelum ini ‘dihilangkan’ bagi model baharu ini. Sebaliknya ia telah digantikan dengan alat kawalan biasa. Nampak macam ‘downgrade’ tapi pasti Peugeot memiliki alasan tersendiri mengenai hal ini.
Seperti mana varian THP dan SW, 508 GT ini turut ditampilkan dengan skrin paparan sesentuh bersaiz tujuh-inci yang turut berfungsi sebagai alat kawalan termasuk bagi audio. Ia turut berfungsi sebagai pemapar navigasi, sambungan telefon, konfigurasi kenderaan, multimedia, kamera undur, bantuan pemanduan dan sambungan digital termasuk Bluetooth, USB, pemain CD/MP3.
Elemen standard yang turut dikekalkan termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, lampu dan bilah pengilap cermin auto, tempat duduk balutan kulit Nappa upholstery, pelarasan automatik tempat duduk hadapan, empat-zon kawalan suhu automatik, bantuan parkir hadapan dan belakang, lapan pelarasan tempat duduk hadapan dengan sokongan bahagian belakang badan, sistem bunyi JLB dengan 10-pembesar suara dan tirai suria manual.
Malah ruang dalamannya masih mengekalkan keselesaan yang jitu. Malah penumpang di belakang turut dapat merasai keselesaan termasuk pada ruang kepala dan ruang kaki, biar pun bertubuh besar.
Ruang kargo bagi 508 GT ini juga boleh dikatakan luas iaitu berkapasiti 545 liter.
Varian 508 GT baharu ini didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu Pearl White (opsyen dengan kos tambahan sebanyak RM 1,590.00) dan Haria Grey.
Harga atas jalan bagi 508 GT ini ialah RM201,888 (bersama insurans) dan pembeliannya turut didatangkan dengan waranti selama lima tahun tanpa perbatuan terhad dan juga Servis Bantuan 24-Jam Peugeot, akses percuma ke Peugeot Lounge di Lapangan Terbang Subang dan keahlian Peugeot Privilege.