Sarawak bebas tol mulai tahun hadapan
Mulai tahun hadapan, Sarawak dijangkakan akan menjadi negeri bebas tol selepas pemansuhan plaza tol Jambatan Tun Salahuddin, yang dijadualkan bakal berakhir pada hujung tahun ini.
Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, pemansuhan tol ini adalah bagi mengotakan janji kepada rakyat Sarawak sebelum ini.
“Kami telah pun memansuhkan tol di Jambatan Lanang, Sibu dan Jambatan Asean di Baram. Sebelum 2015 berakhir, Jambatan Tun Salahuddin pula akan mengalami perkara yang sama,”ujarnya memetik laporan Borneo Post. Beliau turut mengulangi kenyataan bahawa Lebuhraya Pan Borneo juga akan bebas tol.
Menurutnya lagi, dengan adanya Lebuhraya Pan Borneo yang tidak dikenakan sebarang kutipan tol, ia dapat mengurangkan beban rakyat.
Mei lalu, Jambatan Lanang telah dimansuhkan kutipan tol, diikuti dengan Jambatan Asean yang menghubungkan Miri dan Brunei, sebulan selepas itu. Manakala Jambatan Igan di Sibu tidak pernah dikenakan bayaran tol.