Kia Cerato K3 facelift diperkenalkan di Korea Selatan
Kia Korea Selatan telah pun memaparkan galeri imej model facelift bagi K3 atau Cerato yang mengalami perubahan lebih signifikan.
Antara perubahan yang dilakukan terhadap Cerato K3 facelift ini ialah padanan lampu utama yang lebih besar dengan kluster HID (bersama lampu nyalaan siang LED) yang dilebarkan.
Malah bampar hadapannya turut diberi rekaan baharu dan lampu kabusnya diposisikan semula bagi menempatkan ruang yang lebih luas bagi corong udara.
Profil sisinya kelihatan tiada perubahan. Namun lampu belakangnya telah diberi penambah baikan dan ditampilkan bersama LED. Bahagian bampar belakangnya juga dibentukkan semula tetapi tidak banyak perubahan yang dilakukan.
Begitu juga dengan bahagian kabin yang tidak banyak berlaku perubahan. Namun Kia telah mengurangkan beberapa butang kawalan pada sistem hiburan dan menampilkan roda stereng baharu dengan kekemasan hitam berkilat. Ditambah pula dengan butang ekstra di bahagian corong tengah berhampiran dengan gear.
Kemungkinan besar ia bakal dipadankan dengan enjin 1.6 liter GDI aspirasi natural dengan kuasa 132 PS dan dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan. Malah Kia turut memaklumkan ia juga bakal memberikan satu lagi pilihan enjin iaitu 1.6 VGT diesel dengan kuasa 128 PS.