Tiga daripada enam lorong di Jalan Matcher Pulau Pinang ditutup mulai esok
Untuk anda yang berada di Pulau Pinang, ada pengumuman penting yang perlu diketahui.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Azmi Adam, terdapat tiga daripada enam lorong di Jalan Matcher menuju Terminal Feri Sultan Abdul Halim di Butterworth akan ditutup mulai esok sehingga 31 Januari depan.
Penutupan untuk fasa pertama itu bagi membolehkan kerja-kerja pembangunan hab bersepadu Penang Central dijalankan, laporan Bernama.
“Berikutan penutupan tiga lorong itu, polis menjangkakan akan berlaku sedikit kesesakan di kawasan berkenaan dan saya meminta orang ramai yang menggunakan laluan terbabit agar berhati-hati serta mematuhi papan tanda arah yang disediakan,” katanya.
Katanya mulai esok, seramai lapan anggota polis akan ditugaskan bagi melancarkan lalu lintas di kawasan berkenaan.
Beliau berkata bagi fasa kedua, persimpangan ke Jalan Pantai dan persimpangan masuk ke Terminal Feri Sultan Abdul Halim akan ditutup mulai 1 Feb 2016 hingga 30 Sept 2016 bagi kerja-kerja pembinaan di kawasan berkenaan.
Azmi berkata sehubungan itu, jalan susur keluar dari terminal berkenaan akan diubah dari laluan sehala kepada laluan dua hala mulai 1 Feb 2016.
Katanya terminal feri sementara Penang Sentral juga akan dipindahkan ke kawasan KTMB Butterworth mulai 1 Jan depan.
Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian khidmat bantuan 24 jam di 04-3321015 dan 016 4168169 atau e-mel di info@penangsentral.com.my.