Volvo XC90 T8 Twin Engine serba baharu dilancarkan – Harga RM454k
Pagi ini bertempat di Institut Automotif Malaysia (MAI), Cyberjaya, Volvo Car Malaysia telah melancarkan Volvo XC90 T8 Twin Engine serba baharu.
Merupakan SUV premium tujuh tempat duduk dan dilengkapi dengan pelbagai teknologi keselamatan terbaik dunia, Volvo XC90 T8 Twin Engine serba baharu ini turut dikuasakan oleh rangkaian plug-in hybrid, Ia menawarkan kombinasi kuasa, penjimatan bahan api dan emisi rendah yang tiada tandingannya.
XC90 serba baharu ini menjadi Volvo pertama yang dibina dengan teknologi casis modular Scalable Product Architecture (SPA).
Seni bina modular baharu ii membolehkan Volvo mengekal atau menambah baik ciri keselamatan, tanpa perlu berkompromi dari segi reka bentuk, saiz atau berat kenderaan. Ia juga menggunakan besi boron berketahanan tinggi, menjadikannya sebagai kenderaan yang lebih kompak dan selamat.
Malah binaan elektrikal yang inovatif turut meningkatkan tahap kepintaran kereta dengan lebih signifikan. Ia direka untuk berintegrasi dengan teknologi-teknologi baharu seperti pemproses mikro, alat pengesan dan kamera secara lebih mudah.
Menurut Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Keith Schafer, “Keputusan kami untuk membawa varian T8 Twin Engine ini didorong oleh cita-cita kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kenderaan Cekap Tenaga (EEV) di ASEAN yang selari dengan Dasar Automotif Negara. Kami sangat berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh kerajaan untuk membawa model berteknologi plug-in hybrid termaju ini ke Malaysia.”
Tampil dengan imej yang lebih anggun dan menawan, Volvo XC90 T8 Twin Engine serba baharu merupakan model pertama Volvo yang menggunakan tanda besi baharu. Ia terdiri daripada anak panah ikonik yang selari dan diletakkan secara melintang pada gril.
Ia lebih menyerlah dengan penampilan lampu nyalaan siang berbentuk-T, dengan bonet XC90 yang lebih besar bersama topografi baharu, garis sisi dan bahagian bahu yang lebih tajam.
Lampu belakangnya pula umpama tatu yang merupakan satu lagi rekaan signatur yang penting dan bakal menjadi inspirasi buat model Volvo akan datang.
Ia turut dipadankan dengan rim aloi bersaiz 20-inci yang dibaluti tayar 275/45 R20.
Menjengah bahagian kabinnya, cita rasa mewah menjalari segenap ruang. Elemen yang paling menyerlah ialah konsol kawalan dengan skrin sesentuh ibarat sebuah tablet.
Rekaan yang lebih ringkas turut memberikan permukaan yang luas dan membolehkan seni bina dalaman yang mewah dan moden dapat dihasilkan.
Menggunakan material yang bermutu tinggi termasuk kulit Nappa dan kekemasan kayuan buatan tangan, lebih menyerlahkan lagi bentangan imej dalaman SUV ini.
Tuil gear pula dihasilkan oleh Orrefors, pembuat kaca terkenal di Sweden, manakala butang penghidup enjin dan butang kawalan audio pula dipotong menggunakan berlian.
Antara muka Sensus baharu pula merupakan sistem kawalan yang paling moden turut ditampilkan di dalam Volvo XC90 T8 Twin Engine serba baharu ini. Ia pastinya memberikan pengalaman baharu kepada pemandu untuk mengendalikannya.
Manakala pilihan butang dan kawalan tradisional kini telah digantikan denggan interaksi yang lebih lancar melalui skrin sesentuh umpama tablet besar.
Instrumen digital dan paparan head-up di bahagian hadapan pemandu memberikan informasi yang paling relevan dan boleh didapati apabila perlu.
Sensus turut memberikan akses yang mudah merangkumi radio Internet, navigasi, music stream serta mampu menyokong penggunaan Apple iOS dan Android.
Ia turut menampilkan sistem suhu empat zon dengan tetapan individu untuk penumpang di tempat duduk hadapan dan baris kedua. Manakala unit penghawa dingin bagi tempat duduk barisan ketiga juga disediakan.
Bukan itu sahaja, sistem penulenan udara CleanZone Volvo Cars turut dipertingkatkan dengan penambahan satu penapis karbon yang baharu bagi memerangkap partikel halus serta debunga berbahaya di dalam udara.
Tidak lengkap dengan itu, Volvo turut memberikan keluasan dan keselesaan ruang yang optimum. Asas tempat duduk yang memiliki ergonomik umpama bentuk tulang belakang manusia pastinya memberikan keselesaan yang diperlukan.
Kedudukan yang boleh diubah membolehkan sesiapa sahaja mendapatkan posisi yang lebih ideal. Malah tempat duduk ini juga hadir dengan kusyen tambahan untuk lebih keselesaan.
Bagi kenderaan lain, selalunya barisan tempat duduk ketiga lebih sesuai untuk kanak-kanak atau pun penumpang yang bertubuh kecil. Namun tidak bagi Volvo XC90 T8 Twin Engine serba baharu, kerana penumpang yang berketinggian sehingga 170cm juga boleh duduk di situ dengan selesa.
Tempat duduk barisan ketiga ini juga menampilkan tiga tempat duduk berasingan yang boleh dibaringkan. Fungsi gelungsor boleh digunakan untuk memberikan ruang kaki yang lebih luas untuk penumpang atau meningkatkan ruang kargo.
Volvo XC90 T8 Twin Engine serba baharu dijanakan oleh enjin 2.0 liter supercharged dan pengecas turbo, T8 Plug-in hybrid dan motor elektrik. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan.
Gabungan enjin dan transmisi ini membolehkan ia menghamburkan kuasa sehingga 407hp dan tork puncak 640Nm. Membolehkan Volvo XC90 T8 Twin Engine serba baharu ini dipacu dari 0-100km/j dalam hanya 5.6 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum 230 km/j.
Bagi penggunaan bahan apinya, Volvo mendakwa SUV ini mampu merekodkan sekitar 2.1 liter bagi setiap 100 km dan emisi CO2 pula ialah 49g/km.
Pemandu juga boleh memilih pemanduan normal dalam mod hibrid terutamanya ketika memandu di dalam kawasan bandar. Manakala penggunaan tenaga elektrik sepenuhnya pula boleh mencecah jarak sehingga 40km.
Memantapkan lagi pemanduan dan pengendalian, SUV ini dipadankan dengan double wishbone untuk suspensi hadapan dan suspensi kawalan udara elektronik di belakang.
Ia turut memberikan lima mod pemanduan pilihan iaitu ‘Hybrid’, ‘Pure Electric’, ‘Power Mode’, ‘AWD’ dan ‘Safe’.
Bagi pemanduan off-road, ia turut menampilkan pakej pelindungan laluan run-off dan brek automatik di simpang jalan.
XC90 ini juga merupakan kereta pertama di dunia yang dilengkapi dengan teknologi yang akan membrek secara automatik sekiranya pemandu bertembung dengan kenderaan di hadapan.
Ia turut dilengkapi dengan Kawalan Kelajuan Adaptif dengan Pilot Assist baharu sebagai isyarat sokongan automatik serta Kamera Bantuan Parkir dengan Pandangan Sekeliling 360 darjah. Selain ciri keselamatan standard termasuk tujuh beg udara, ABS, EBD dan EBA.
Volvo XC90 T8 Twin Engine serba baharu berukuran 4,950 mm panjang, 2,140 mm lebar dan 1,776 mm tinggi serta jarak roda 2,984 mm. Ia turut menawarkan jarak ground clearance sehingga 227mm untuk hadapan dan 267 mm di belakang.
Volvo XC90 T8 Twin Engine serba baharu dijual pada harga atas jalan RM453,888 (tanpa insurans) termasuk GST. Ia turut didatangkan dengan waranti selama lima tahun (termasuk motor elektrik).
Pakej aksesori bagi Volvo XC90 T8 Twin Engine serba baharu