Pusat 4S Volkswagen Selayang dilancarkan – Pusat Servis Teknikal Volkswagen kedua di Malaysia
Pusat 4S Volkswagen Selayang telah pun dilancarkan oleh Volkswagen Group Malaysia dan Goh Brothers. Ia merupakan Pusat Servis Teknikal Volkswagen kedua di Malaysia.
Dengan kos pelaburan sebanyak RM25 juta, Pusat 4S Volkswagen Selayang terbina atas keluasan 55,000 kaki persegi dalam bangunan setinggi lima tingkat.
Ia mempunyai ruang pameran yang mampu menempatkan tujuh unit kenderaan, ruang lounge untuk para pelanggan yang dilengkapi dengan TV dan WiFi percuma, bilik permainan kanak-kanak, dan juga 20 petak penyelenggaraan.
Goh Brothers turut melabur sebanyak RM3 juta untuk peralatan dan tenaga kerja bagi unit selepas jualan. Sementara itu, sebanyak RM1.5 juta telah dilaburkan untuk bengkel membaiki dan mengecat kenderaan.
Sebagai tambahan, sebanyak RM1 juta turut dilaburkan bagi peralatan bengkel dari Jerman. Ini termasuklah sistem komputer diagnosis Volkswagen, penguji bateri dan Electro Kardiograms (EKG) untuk menguji dan memeriksa kenderaan serta menghantar maklumat terus kepada pusat kajian dan pembangunan pengeluar di Jerman,
Pusat 4S Volkswagen Selayang ini terletak di Taman Perindustrian Selayang, Batu 8 1/2, Jalan Ipoh, Batu Caves. Bahagian jualan dibuka dari Isnin hingga Jumaat, jam 9 pagi hingga 5 petang, Ahad dan cuti umum pula dari jam 10 pagi hingga 5 petang. Manakala bahagian selepas jualan pula dibuka dari Isnin hingga Sabtu dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.