Ford tawar ganjaran untuk peminat Ranger
Sime Darby Auto Connexion (SDAC), rakan pengedar Ford Motor Company di Malaysia hari ini mengumumkan promosi akhir tahun istimewa untuk memberi ganjaran kepada semua peminat Ford Ranger di seluruh negara.
Mulai sekarang hingga 13 Disember, pelanggan yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Ranger baharu boleh mengunjungi mana-mana bilik pameran Ford di seluruh negara, daftarkan minat mereka dan jawab satu soalan mudah untuk peluang memenangi satu baucar membeli-belah.
Bukan itu sahaja, lima orang pelanggan bertuah yang menempah Ranger mulai sekarang hingga 13 Disember dan mendaftarkannya sebelum 31 Disember akan memenangi 200,000 BIG Points. Ia bersamaan empat penerbangan pergi balik ke Australia.
Sepanjang promosi ini, sesiapa sahaja yang memandu uji Ranger baharu akan menerima satu penyusun but kereta edisi terhad yang istimewa.
“Sepanjang bulan Disember, kami berbesar hati menawarkan rakyat Malaysia peluang untuk melihat sendiri bagaimana Ranger baharu menepati reputasinya selaku trak pikap paling berkeupayaan, berkuasa dan pintar di Malaysia,” kata Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz.
Sejak Ranger baharu yang lebih lasak, pintar dan efisien ini dilancarkan hanya dua bulan lalu, ia telah menerima penarafan keselamatan paling tinggi berbanding semua trak pikap yang diuji oleh Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP).
Ranger memperoleh lima bintang dengan 15.45/16 mata. Ranger WildTrak pula dinamakan sebagai trak pikap terbaik (Pick Up of the Year) dalam acara New Straits Times-Maybank Car of the Year (COTY) 2015 Awards.