Perodua sumbang RM20k untuk anak yatim di Sabah
Perodua memang tidak lekang dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Terbaru, pada hujung minggu lalu, Perodua telah menyumbangkan sebanyak RM20,000 termasuk beg sekolah kepada anak yatim di Sabah dalam satu program CSR.
Ia membabitkan dua rumah anak yatim iaitu Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim, Papar atau lebih dikenali sebagai Yayasan As-Sakinah dan Rumah Kanak-Kanak Kota Kinabalu (RKK).
Setiap organisasi menerima wang tunai sebanyak RM10,00 sebagai persiapan membeli peralatan persekolahan anak-anak yatim terbabit.
“Sumbangan ini adalah sebagai cara kami berkongsi kejayaan dan pengiktirafan yang diberikan oleh rakyat Malaysia,” ujar Presiden dan CEO Perodua, Datul Dr Aminar Rashid Salleh.
Dalam masa yang sama, Perodua turut menganjurkan “Media Fun Race 2015” yang membabitkan pihak media di Sabah dengan pelbagai aktiviti yang mencabar. Ia melibatkan 10 penyertaan secara berkumpulan bagi menempuh cabaran dan halangan yang disediakan.
“Media Fun Race 2015” telah dimenangi oleh Team UB dari Utusan Borneo dan tempat kedua, The Three Stooges UB2 juga dari organisasi yang sama. Manakala The Crooners dari New Sabah Times muncul di tempat ketiga.