Hyundai IONIQ – Model hibrid dari Hyundai bakal diperkenalkan tahun hadapan
Hyundai telah menyebarkan imej pengenalan pertama untuk kenderaan hibrid IONIQ yang dikatakan bakal diperkenalkan di Eropah dan Amerika Utara pada Januari hadapan.
Walau bagaimana pun, Hyundai masih belum bersedia mendedahkan perincian lebih lanjut mengenai IONIQ ini. Namun bentuk kenderaan hatchback lima-pintu ini memiliki sedikit persamaan dengan Chevrolet Volt/Opel Ampera.
Namun IONIQ ini kelihatan memiliki garisan badan yang lebih anggun dan turut ditampilkan dengan lampu utama serta lampu belakang LED.
Menurut Hyundai, IONIQ merupakan model pertama bagi mereka yang bakal menawarkan tiga pilihan penjana kuasa bagi satu jenis kerangka, iaitu elektrik, plug-in petrol/hibrid elektrik atau petrol/hibrid elektrik.
IONIQ juga bakal dibina dengan platform yang baharu memandangkan ia menawarkan pelbagai pilihan penjana kuasa. Bagi versi elektrik sepenuhnya (EV), IONIQ akan dikuasakan dengan bateri lithium ion berkapasiti tinggi.
Sementara versi plug-in hybrid (PHEV) pula, ia akan digabungkan dengan kuasa penjimatan bahan api dan bateri. Manakala versi hibrid (HEV) pula menggunakan enjin petrol dan ia akan dicas dengan bateri khas.