Porsche 718 Boxster dan 718 Cayman sah bakal diperkenalkan tahun hadapan
Porsche telah mengesahkan bakal memperkenalkan model facelift bagi Boxster dan Cayman pada tahun hadapan. Dengan kod nama 718 Boxster dan 718 Cayman, ia bakal dipadankan dengan penjana kuasa pengecas turbo.
Menurut sumber, Porsche akan meneruskan strategi pengecilan dan pembangunan enjin boxer empat-silinder baharu, iaitu ia akan ditampilkan pada generasi baharu Boxster dan Cayman.
Setakat ini tiada sebarang spesifikasi diumumkan. Namun terdapat khabar angin memperkatakan ia bakal tampil dengan tiga versi enjin iaitu 1.6 liter (200 hp), 2.0 liter (290 hp) dan 2.5 liter (335 hp).
Namun Porsche berkata, “Model siri 718 ini adalah kesinambungan untuk membuktikan konsep empat-silinder dan sejarah kebangkitan kereta sport Porsche. Contoh terkini ialah kereta lumba 919 Hybrid LMP1, yang dijanakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder pengecas turbo.”