Hampir 1 juta saman lalu lintas belum dijelaskan – DBKL
Menerusi Dewan Parlimen, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memaklumkan hanya 116,418 daripada 1,111,268 notis kesalahan lalu lintas telah dibayar sejak Januari hingga 31 Okt tahun ini.
Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Loga Bala Mohan, notis yang telah dibayar itu menerima kutipan sebanyak RM7,182,110 dan masih ada lagi 994,850 notis yang belum dibayar, laporan Bernama.
Katanya, “Pada 2013, sebanyak 1,102,440 jumlah notis telah dikeluarkan dan hanya 185, 919 yang sudah berbayar dengan kutipan berjumlah RM8,480,509.
“Baki notis yang belum dibayar pula adalah 916,521 notis. Bagi tahun 2014 pula, sebanyak 1,153,925 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan dan hanya 147,026 notis yang telah dibayar dengan kutipan sebanyak RM9,823,404. Baki notis yang masih tertunggak adalah sebanyak 1,006,899 notis,” katanya.
Beliau berkata pada kebiasaannya, orang kena notis (OKN) tidak akan membayar kompaun serta merta atau pada tahun semasa dan oleh itu, jabatan penguatkuasaan telah mengeluarkan notis peringatan kepada OKN tersebut.
Dr Loga Bala berkata DBKL akan turut menyediakan kertas siasatan untuk dibawa ke mahkamah bagi kegagalan membayar kompaun tersebut.