Perodua Axia G bakal dilengkapi ABS mulai 2016 – Pertambahan harga RM1,500
Perodua telah mengumumkan Axia bagi varian Standard G bakal ditampilkan dengan sistem brek anti-kekunci (ABS) mulai Januari 2016 ini. Walau bagaimana pun, ia bakal dinaikkan harga sebanyak RM1,500 bagi varian berkenaan. Sementara itu, varian Standard E masih kekal tanpa ABS.
Ini bermakna harga atas jalan (termasuk insurans) bagi Axia Standard G dinaikkan menjadi RM33,627 untuk versi manual dan RM36,627 bagi automatik. Ini merupakan kenaikan harga kedua yang diumumkan selepas Perodua mengumumkan varian terbabit dinaikkan harga sebanyak RM990 pada Oktober lalu.
Sebelum ini, varian Axia yang paling murah tetapi dilengkapi dengan ABS ialah SE iaitu bermula RM36,637 (MT) dan RM39,637 (AT).
“Untuk pelanggan yang menempah Axia G antara 1 Oktober hingga 10 Disember, yang masih belum menerima kenderaan mereka, Perodua menawarkan baucer bernilai RM500 sebagai token,”ujar Presiden dna CEO Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.
Sambungnya lagi, tempahan yang dibuat dari 11 Disember ke atas akan dikenakan harga baharu dan penghantarannya mulai Januari 2016.