Lebuhraya JELAS bakal dibina mulai 2016 & dijangka beroperasi pada 2018
Kerja-kerja pembinaan projek Lebuhraya Jelapang-Selama-Batu Kawan (JELAS) dijangka bakal bermula bulan hadapan dan disasarkan siap sepenuhnya pada 2018, menurut laporan The Star.
Projek lebuhraya yang bernilai RM4.6 bilion ini akan dimulakan dari Lebuhraya Utara-Selatan di Meru Raya dan dihubungkan ke Lebuhraya Utara Selatan di Batu Kawan.
Jajaran sepanjang 116 km ini akan dilengkapi dengan tiga lorong bagi setiap arah utara dan selatan. Menariknya, sepanjang lebuhraya ini akan diletakkan pencahayaan jalanan LED yang dikuasakan oleh solar.
Selain itu, lebuhraya ini juga akan memiliki terowong sepanjang tiga km yang melalui Gunung Bintang, yang dilaporkan sebagai terowong terpanjang dibina di Asia.
Lebuhraya JELAS ini bermula daripada Jelapang di Daerah Kinta, Perak Darul Ridzuan, dan melalui Klebang, Karai, Kati, sebuah terowong baru iaitu Terowong Bintang, Selama, Serdang di Kedah Darul Aman dan terakhirnya berhenti di Lebuhraya Jambatan Kedua Pulau Pinang.
Menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan Beta Mutiara Corp (BMC), Tan Sri Bahadon Haji Ariffin, “Kami jangka akan memulakan operasi membina lebuhraya ini pada minggu pertama tahun 2016 selepas pelancaran projek ini. Buat masa ini, kami sedang menantikan kelulusan akhir dari Unit Kerjasama Awam-Swasta di bawah Jabatan Perdana Menteri.”
Beliau turut menyebut, perjanjian akan ditandatangani dengan pihak kerajaan untuk menentuukan kadar konsesi tetap untuk 50 tahun pertama. Walau bagaimana pun, kadar tersebut belum ditetapkan lagi. Ini bermakna tiada kenaikan kadar untuk tempoh jangka masa lima dekad pertama.
Dengan adanya Lebuhraya JELAS, ia dapat membantu mengurangkan kesesakan trafik di Lebuhraya Utara-Selatan terutamanya pada hujung minggu atau musim cuti.