Mitsubishi Outlander serba baharu bakal diperkenalkan di Malaysia awal 2016 ini
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan bahal memperkenalkan model Mitsubishi Outlander serba baharu awal 2016 ini.
“Kami sangat teruja untuk memperkenalkan SUV tujuh-tempat duduk ini ke pasaran Malaysia tidak lama lagi. Mitsubishi Outlander merupakan model pertama yang bakal diperkenalkan dengan konsep “Dynamic Shield” dan didatangkan dengan pelbagai elemen premium serta keselamatan,” ujar Yang Won-Chul selaku CEO MMM.
Mitsubishi Outlander ini hadir dengan prestasi yang berkuasa dengan perlindungan yang diyakini, dikongsi oleh barisan generasi model Mitsubishi yang lain.
Ia tampil sebagai sebuah kenderaan yang cukup bergaya dan versatil. Dijanakan oleh sistem enjin Mitsubishi Innovative Valve timing Electronic Control (MIVEC), bagi pasaran global, ia turut memiliki dua pilihan enjin iaitu 3.0 liter V6 dan 2.4 liter empat-silinder sebaris.
Namun untuk pasaran Malaysia, kemungkinan besar MMM bakal membawa masuk varian enjin 2.4 liter dengan kuasa 166 hp dan tork 219 Nm serta dipadankan dengan transmisi automatik CVT yang baharu.
Outlander ini turut didatangkan dengan tujuh beg udara, Kawalan Kestabilan Aktif (ASC), bumbung matahari, pintu belakang yang boleh dibuka secara elektrik, lampu nyalaan siang LED, rim aloi bersaiz 18-inci dan banyak lagi.
Malah ia juga tampil dengan ruang kabin yang luas dan penuh selesa.
Harga jangkaannya dianggarkan sekitar RM183,000. Kena tunggu hari pelancarannya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai SUV ini.