Uber & GrabCar mungkin dibenarkan beroperasi secara sah, perlu patuhi undang-undang yang ditetapkan
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi, telah mengeluarkan kenyataan, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membenarkan pengusaha kereta sapu profesional, Uber dan Grabcar untuk beroperasi secara sah di negara ini.
Bagaimanapun, perkhidmatan itu dikehendaki mematuhi beberapa syarat yang akan ditetapkan untuk membolehkan sistem kereta sapu itu beroperasi, laporan Berita Harian.
Antara syarat yang perlu dipatuhi adalah pemandu perlu didaftarkan dan memiliki lesen memandu kenderaan awam (PSV).
Selain itu, kenderaan mereka perlu diperiksa secara berkala dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) serta dilengkapi insurans khas untuk melindungi penumpang.
Aziz turut berkata, satu rumusan dan pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat selepas bengkel yang dikendalikan kementerian itu dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diadakan pada masa terdekat.
Katanya lagi, sSementara pengumuman dibuat, kerajaan tidak ada sebarang upaya untuk mengambil tindakan terhadap mereka kerana operasinya berkonsepkan perkhidmatan maya. Namun selepas peraturan diperkenalkan nanti, kawalan dapat dibuat dengan lebih terperinci.
Dalam masa yang sama, SPAD juga merancang memperkenalkan satu sistem baharu, iaitu teksi mini, yang turut akan diumumkan secara terperinci selepas ia dimuktamadkan kelak.