Renault Seremban mula beroperasi
TC Euro Cars, pengedar rasmi model Renault di negara ini telah pun membuka pusat pengedaran IS baharu di Seremban, Negeri Sembilan.
Pembukaan Renault Seremban adalah bagi memastikan kualiti selepas jualan dan sokongan servis yang terbaik kepada para pelanggannya di Seremban.
Terletak di lokasi strategik di bandar baharu Seremban di Jalan Era Square 2, Era Square, pusat 1S itu dibina berdasarkan kepada pelan pengembangan strategik TC Euro Cars untuk mengukuhkan lagi kehadiran jenama Renault di wilayah selatan Semenanjung Malaysia.
“Bilik pameran baharu di Seremban ini membolehkan kami meningkatkan jangkauan dan berinteraksi dengan lebih ramai pelanggan. Ketika kami terus menawarkan kereta-kereta Renault yang lebih menarik dan menjimatkan bahan api bersama inovasi-inovasi pintar, ia pasti membolehkan para pelanggan menikmati kehidupan mereka sepenuhnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TC Euro Cars Sdn. Bhd., Kuan Kim Luen.
Dikendalikan oleh AJ Premium Motors, pusat 1S Renault itu akan mempamerkan dan menjual model urban crossover Renault Captur baharu yang bergaya dan hot hatch sporty Clio GT Line.
Bagi memastikan para pelanggan di kawasan ini mendapat pengalaman khidmat selepas jualan dan servis terbaik, TC Euro Cars akan memanfaatkan kekuatan rangkaian selepas jualan Tan Chong Group.
Semua pelanggan di kawasan tersebut boleh melakukan servis kenderaan mereka di pusat servis Tan Chong (Tan Chong Ekspres Auto Servis) yang terletak di Jalan Lombong Emas 6 di Seremban Light Industrial Park, hanya lima kilometer dari bilik pameran baharu itu.
Bilik pameran baharu Renault dibuka mulai 9 pagi hingga 6 petang, Isnin hingga Sabtu dan 11:00 pagi hingga 5:00 petang pada Ahad.
Waktu operasi pusat servis Tan Chong pula ialah 8:30 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Ahad.
Sehingga kini, Renault memiliki 15 buah bilik pameran di Semenanjung Malaysia dan 14 pusat servis di seluruh negara termasuk di Malaysia Timur.
Semua kenderaan penumpang Renault di Malaysia hadir bersama selang servis sejauh 10,000km atau enam bulan, mana-mana tiba dahulu. Sebahagian model Renault yang terpilih didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun dan perbatuan tanpa had.
Tidak seperti jaminan lanjutan kenderaan baharu yang lain, jaminan ini disokong sepenuhnya oleh Renault demi meningkatkan pengalaman pemilikan serta mempunyai kurang komplikasi dari segi terma dan syaratnya.
1 Comment