BMW 9-Series dan i6 dijadual bakal dipasarkan awal tahun 2020
Telah banyak perkhabaran angin bertebaran mengenai kemasukan model BMW 9-Series ke pasaran global, namun sehingga kini, tiada siapa yang mengesahkannya termasuk pihak BMW sendiri.
Terbaru, Automobile Magazine melaporkan model coupe empat-pintu serba mewah ini dijangka bakal dipasarkan pada awal tahun 2020.
Pilihan penjana kuasanya masih tidak dikenal pasti, namun dilaporkan kebarangkalian ia bakal dilengkapi dengan enjin turbo-berkembar V8 dan varian plug-in hybrid dengan enam-silinder.
Malah terdapat perkhabaran yang mengatakan varian tertinggi M960i atau M9 bakal digandingkan dengan enjin V12 dengan kuasa 650 hp.
Menariknya, laporan tersebut turut menyebut, Rolls-Royce sedang membangunkan penjana kuasa elektrik bagi generasi Phantom akan datang. Malah penjana kuasa tersebut juga dikatakan bakal ditawarkan pada BMW 9-Series tetapi masih tiada kesahihannya.
Bercakap mengenai kenderaan elektrik (EV), BMW turut dilaporkan bakal melancarkan model i6 sedan pada pertengahan tahun 2020. Model ini memiliki saiz yang sama dengan 3-Series tetapi dibina dengan set komponen baharu yang dibangunkan khas untuk EV.
Ia juga dijangka menggunakan gentian karbon dan dua hingga empat motor elektrik. Malah ia juga bakal dikuasakan dengan pek bateri lithium-polymer bagi memberikan kapasiti tenaga lebih tiga kali ganda berbanding bateri masa kini.