Hyundai Tucson baharu dilancarkan – Harga RM130k untuk Elegance & RM144k bagi Executive
Petang ini, Sime Darby Motors Company, pengedar rasmi Hyundai di Malaysia, telah pun melancarkan model baharu bagi Tucson yang kelihatan lebih elegan dan sofistikated.
Ia ditawarkan dengan dua varian iaitu Elegance dan model spesifikasi tertinggi, Executive.
Kedua-duanya menampilkan ‘jantung’ yang sama iaitu enjin Nu 2.0 MPi yang mampu menyalurkan kuasa sehingga 155 PS pada 6,200 rpm dan puncak tork 192 Nm pada 4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan.
SUV yang turut dipacukan dengan sistem pacuan dua-roda (2WD) ini dipadankan dengan sistem suspensi topang MacPherson untuk bahagian hadapan dan multi-link di belakang.
Bagi aspek keselamatan, Hyundai turut tidak berkompromi mengenainya. Tucson baharu ini dilengkapi dengan ABS, ESC, Bantuan Mula Mendaki (HAC), Kawalan Brek Menurun Bukit (DBC), Sistem Bantuan Brek (BAS) dan Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM).
Bagi varian Elengance, ia dilengkapi dengan dua beg udara, manakala enam bagi Executive. Malah varian Executive turut dilengkapi dengan Safe Driver Recorder.
Tucson baharu ini berukuran 1,850 mm lebar, 4,475 mm panjang dan 1,655 mm tinggi, sekali gus turut memberikan ruang kabin yang lebih luas dan selesa.
Melihat imej yang dipertaruhkan pada bahagian luaran Tucson baharu ini, ia memang cukup bergaya dan ranggi. Bahagian hadapannya dipadankan dengan gril radiator berwarna perak metalik bagi varian Elegance dan krom buat Executive.
Kedua-duanya dipadankan dengan lampu utama halogen projektor dan tambahan buat varian Executive, ia ditampilkan juga dengan LED Light Guide dan lampu nyalaan siang (DRL).
Imej elegan turut menyerapi bahagian kabin, dan ia jelas kelihatan pada papan pemuka dan konsol tengah yang cukup menyerlah. Kedua-dua varian turut menampilkan tempat duduk balutan kulit berwarna hitam, tetapi Hyundai turut menawarkan dua pilihan lain iaitu warna merah dan putih.
Tempat duduk pemandu bagi varian Executive turut mempunyai lapan-cara pelarasan dan dua-cara sokongan bahagian belakang.
Selain itu, varian Elegance turut dilengkapi dengan skrin kluster konvensional LCD bersaiz 3.5-inci Mono TFT, dan Executive pula tampil dengan skrin LCD Super Vision bersaiz 4.2-inci TFT.
Bagi brek parkir pula, jenis brek parkir tangan untuk varian Elegance dan Brek Parkir Elektronik untuk Executive.
Untuk sistem audio pula, Audio Visual Navvigation (AVN) untuk varian Executive dan hanya radio biasa bersama pemain CD, MP3 dan DVD buat Elegance. Kedua-duanya turut dilengkapi dengan sambungan AUX, USB dan Bluetooth.
Terdapat beberapa elemen tambahan buat varian Executive iaitu Kunci Pintar dengan butang penghidup/mematikan enjin, dan sistem kawalan kelajuan automatik. Selain itu, kemasukan tanpa kunci dan kawalan penghawa dingin manual turut dipadankan pada kedua-dua varian.
Hyundai Tucson baharu ini ditawarkan dengan tujuh pilihan warna menarik iaitu Pure White, Sepia Topaz, Pepper Grey, Platinum Silver, Ruby Wine, Ara Blue dan Phantom Black.
Ia dijual pada harga atas jalan (berserta insurans) RM129,888 untuk Elegance dan Executive pula RM143,888.
Hyundai Tucson Elegance
Hyundai Tucson Executive