Litar Lumba Kuala Terengganu bakal siap akhir 2016
Berita baik untuk peminat sukan permotoran terutamanya lumba kereta atau motor di Pantai Timur. Tidak lama lagi ada ‘port’ menarik dan pastinya sah di sisi undang-undang untuk anda iaitu Litar Lumba Kuala Terengganu.
Litar Lumba Kuala Terengganu yang sedang rancak dibina ini dengan kos RM12.6 juta terletak di Kompleks Sukan Gong Badak.
Dengan foto lakaran yang diambil dari laman Facebook Kuala Nerus Gallery ini, litar ini dijangka siap sebelum tahun 2016 berakhir, menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia &. Sukan dan Sumber Manusia Terengganu, Datuk Haji Rozi Haji Mamat.
Litar sepanjang 1.35 km panjang dan 950 meter lebar ini diiktiraf oleh Persatuan Automobil Malaysia (AAM). Ia turut memiliki tempat duduk penonton termasuk menara tinjau.
Tahun lalu, ketika mengumumkan projek ini, Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman menjelaskan, litar ini dibina untuk memenuhi kehendak dan keperluan golongan muda di negeri tersebut.
“Kami tidak mahu kaum belia kami terlibat dengan sebarang perlumbaan haram yang sememangnya banyak mengundang bahaya. Justeru, kami membina litar ini untuk melahirkan pelumba profesional,” ujarnya.