Maya Karin hantar petisyen pada PM Najib Razak supaya kembalikan pengecualian cukai kenderaan hibrid/EV di Malaysia
Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan pengecualian cukai untuk kenderaan hibrid dan elektrik (EV) yang dijual di Malaysia pada tahun 2011. Walau bagamana pun, pada tahun 2014, model import (CBU) kenderaan hibrid dan EV tidak lagi dilanjutkan pengecualian cukainya. Namun model pemasangan tempatan (CKD) bagi kedua-dua jenis kenderaan terbabit masih menikmati pengecualian tersebut.
Menyedari betapa pentingnya kenderaan hibrid dan EV di negara kita, aktres tempatan terkenal, Maya Karin telah mencari jalan untuk pengecualian cukai tersebut diteruskan menerusi petisyen yang anda boleh layari (dan daftar masuk) di sini.
Petisyen terbabit adalah ditujukan terus kepada pihak kerajaan, terutamanya Perdana Menteri kita, Datuk Sri Najib Tun Razak.
Maya berpendapat, kenderaan tersebut bersifat mesra alam, sekali gus mampu mengurangkan pencemaran udara yang diketahui boleh mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan kita dan alam sekitar.
Dia juga mengimbas kembali kebangkitan kereta dikuasai bahan api fosil dan kejatuhan kereta elektrik, hasil daripada penetapan subsidi minyak yang tinggi di Amerika Syarikat dan Henry Ford yang menghasilkan Ford Model T pada tahun 1908.
Maya juga mendakwa, penggunaan EV di Malaysia adalah jauh lebih murah dan menjimatkan. Contohnya model Nissan Leaf yang kosnya hanya RM7 untuk setiap jarak 100 km, berbanding RM22 bagi kereta berenjin petrol. Malah EV seperti Leaf juga boleh dicas di rumah ketika waktu malam.
Memfokuskan pada dasar tersebut, Maya turut berkata, “Secara ironinya, kenderaan EV yang diimport adalah atas permintaan kami sendiri. Justeru, tidak ada sebab mengapa ia tidak dihasilkan secara pemasangan tempatan. Kini pihak kerajaan telah memberikan pengecualian cukai buat Mercedes S 400 hibrid yang sepatutnya berharga RM880,000, namun dengan penjimatan cukai sebanyak RM300,000, ia memberikan peluang untuk golongan kaya untuk memilikinya.”
Selain itu, model hibrid dan EV CBU lain yang turut disebut termasuklah Renault Zoe yang sepatutnya dijual pada harga RM130,000 berbanding RM200,000, Nissan Leaf (RM150,000 berbanding RM190,000) dan Tesla Model S (RM350,000 berbanding RM550,000).
Petisyen ini turut mengemukakan kelebihan daripada sudut ekonomi pada negara di mana penjualannya melonjak dari 8,403 unit pada tahun 2011 ke 15,355 unit pada tahun 2012.
Maya berkata, “Mengapa polisi ini ditamatkan sedangkan ia banyak memberikan manfaat buat pembangunan negara malah menepati objektif negara kita untuk memelihara dan memulihara alam sekitar menjelang tahun 2020?”
Maya turut menggesa rakyat Malaysia untuk berkongsi sentimennya ini bagi isu pengecualian cukai kenderaan hibrid dan EV di Malaysia. Sasaran bagi petisyen ini ialah mendapatkan 100,000 tandatangan, dan setakat ini ia telah mempunyai 388 penyokong.
Wahai rakyat Malaysia sekalian, adakah anda akan menyokong petisyen yang dikemukakan oleh Maya Karin ini? Apakan pendapat anda mengenainya? Kongsikan bersama kami.