Plaza Tol Seri Kembangan kenakan bayaran mulai hari ini
Persimpangan bertingkat Seri Kembangan di KM16.5 Lebuhraya MEX yang dibuka pada orang ramai sejak 13 Disember lalu, mula mengenakan kutipan bayaran tol berkuatkuasa hari ini.
Menurut kenyataan MEX, Plaza Tol Seri Kembangan tersebut melaksanakan kutipan tol secara elektronik (ETC) dan pengguna lebuhraya terbabit perlu menggunakan peranti kad Touch ‘n Go, PLUSMILE atau SmartTAG untuk melakukan transaksi.
Kadar tol yang dikenakan bagi Kelas 1 (kecuali teksi) ialah RM2.20, Kelas 2 (RM4.40), Kelas 3 (RM6.60), dan teksi (RM1.10).
Dibina sejak 2 Dis 2013, ia menelan belanja RM112 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh syarikat konsesi itu dengan kos pengambilan tanah berjumlah RM20 juta ditanggung oleh kerajaan.
Persimpangan 1.8 km itu adalah sebagai alternatif bagi mengurangkan kesesakan trafik di Seri Kembangan khususnya di Taman Universiti Indah, Taman Puncak Jalil dan Taman Equine.