Plat pendaftaran kenderaan akan diseragamkan tidak lama lagi
Kerajaan akan melancarkan skim nombor plat standard bagi semua kenderaan pada pertengahan tahun ini bagi membanteras penggunaan plat yang menyalahi undang-undang oleh kebanyakan pemilik kenderaan.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz, plat pendaftaran baharu ini akan diperbuat daripada logam dengan ‘stamping’ mengikut saiz dan ukuran yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), iaitu lebih kurang sama dengan yang digunakan di kebanyakan negara jiran termasuk Singapura dan Thailand.
“Sebagai permulaan, kita akan memasang plat nombor jenis ini pada semua kenderaan baharu dan ia adalah wajib. Kemudian, kita akan mengembangkan penguatkuasaan ini pada semua kenderaan sedia ada dalam tempoh lima tahun akan datang,” ujarnya memetik laporan TheSunDaily.
Beliau turut menambah, vendor bertauliah akan dilantik bagi membuat plat pendaftaran kenderaan yang mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh JPJ. Malah ia akan dilaksanakan secara lebih efektif bagi menggantikan plat nombor bagi hampir 18 juta kenderaan berdaftar.
Di mana vendor terbabit akan menggunakan sistem MySikap bagi memastikan produksi plat nombor ini setara dengan rekod pihak JPJ. Selain boleh mengelakkan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab daripada mengubah plat tersebut tanpa alasan yang kukuh.
Ketika ditanya tentang kos pemasangan bagi plat nombor baharu, Aziz berkata, “Tiada sebarang kos dikenakan bagi kenderaan baharu.”
Menurut Aziz lagi, pihak JPJ akan membentangkan kertas kerja kepada Kabinet pada bulan hadapan sebagai cadangan untuk kerajaan mengeluarkan bajet bagi menampung kos ini.
Aziz turut berkata, langkah untuk menyeragamkan plat pendaftaran kenderaan ini adalah sebagai salah satu langkah keselamatan awam, seperti keselamatan jalan raya.
1 Comment