Kia Rio Sedan secara rasminya berada di Malaysia – RM72,888
Kia Malaysia telah mengumumkan secara rasmi harga bagi Rio Sedan baharu di Malaysia yang diperkenalkan pada November lalu di NST-MAI ASEAN Auto Show 2015.
Sebelum ini, harganya dianggarkan pada RM73,000 (OTR dengan insurans), namun akhirnya Kia Malaysia mengesahkan ia berharga RM72,888 (OTR dengan insurans). Ia turut didatangkan dengan waranti selama lima tahun tanpa perbatuan terhad (dengan terma & syarat yang ditetapkan)
Hanya satu varian sahaja ditawarkan, Kia Rio Sedan dijanakan oleh enjin 1.4 liter yang mampu memberikan kuasa sehingga 109 PS pada 6,300 rpm dan puncak tork 137 Nm pada 4,200 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik empat-kelajuan.
Imej yang mirip dengan model hatchback, Kia Rio Sedan turut dipadankan dengan gril radiator “Tiger Nose” yang menjadi signatur Kia. Ia juga tampil dengan paten geometrikal menjadikan Kia Rio Sedan ini memiliki profil yang lebih bergaya.
Selain itu, ia turut dipadankan dengan lampu nyalaan siang (DRL) untuk fokus pemandangan yang lebih optima serta rim aloi yang lebih bergaya bersaiz 15-inci yang dibaluti tayar 185/55 R15.
Bagi ruang kabinnya, ia turut dilengkapi dengan roda stereng telescopic dengan butang kawalan audio, Bluetooth, sistem audio bersama enam pembesar suara serta Audio Head Unit (dengan storan memori 800 MB) sebagai radio dan pemain MP3 dengan sambungan USB, AUX dan RDS.
Untuk elemen keselamatannya, Kia Rio Sedan turut hadir dengan enam beg udara, sistem keselamatan aktif termasuk Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM), pengesan parkir belakang dan Bantuan Mula Mendaki (HAC) serta cakera brek hadapan dan belakang.
Kia Rio Sedan ini ditampilkan dengan empat pilihan warna iaitu Clear White, Bright Silver, Deep Blue dan Signal Red.