Setiawangsa-Pantai Expressway a.k.a DUKE 3 bakal dikendalikan oleh Ekovest Bhd – Sepanjang 32km, siap menjelang 2020
Bagi melaksanakan pembinaan Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE) atau DUKE 3, Ekovest Bhd. melalui anak syarikat milik penuhnya, Lebuhraya DUKE Fasa 3 Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian konsesi dengan kerajaan bagi pembinaan lebuhraya tersebut yang bernilai RM3.738 bilion bagi tempoh konsesi selama 53 tahun enam bulan.
Perjanjian tersebut untuk mereka bentuk, membangun, mengendali, mengurus dan menyelenggara lebuh raya tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai DUKE Fasa 3, menurut laporan Utusan Malaysia.
Menurut Ekovest, SPE akan menjadi lebuh raya pertama di Malaysia yang direka menampung penuh sistem tol elektronik dan dijangka menggunakan sistem aliran bebas pelbagai laluan semasa pembukaannya pada 2020.
SPE akan dibina sepanjang 35 km, menghubungkan bahagian utara dan selatan KL. Kawasan yang terlibat ialah Universiti Tunku Abdul Rahman, Wangsa Maju, Setiawangsa, Ampang, Lebuhraya Bertingkat Tun Razak dan koridor Bandar Malaysia serta Kerinchi.