Alfa Romeo MiTo Quadrifoglio Verde 2014 didedahkan
Penghujung Februari lalu Alfa Romeo telah pun mendedahkan edisi terbaharu bagi jentera MiTo Quadrifoglio Verde yang tampil dengan rekaan lebih sporty. Dipertontonkan di Geneva Motor Show 2014 yang mula berlangsung hari ini, Quadrifoglio Verde ini mempunyai rekaan belakang yang menarik perhatian dengan padanan tailgate-mounted spoiler dan juga bampar belakang yang sungguh sporty dengan extractor yang membuatkan imejnya lebih ranggi.
Quadrifoglio Verde turut dipadankan dengan lampu kabus, sistem ekzos berkembar, lambang cloverleaf atau daun semanggi pada bahagian nombor plat, jeriji yang lebih garang dan juga rim aloi bersaiz 17 inci.
Ruang kabinnya juga menerima sentuhan sporty dengan balutan kulit pada roda stereng, papan instrumen yang diberi penambah baikan dan juga kekemasan gentian karbon yang menyerlahkan lagi imejnya. Model ini turut menerima padanan karpet lantai yang direka khas, zon berkembar bagi kawalan suhu dan sistem infotainmen UConnect dengan skrin paparan bersaiz lima inci.
Dijanakan oleh enjin 1.4 liter MultiAir Turbo, Quadrifoglio Verde mampu menghasilkan kuasa maksimum 170hp dan puncak tork sehingga 250Nm. Ia turut dipadankan dengan transmisi klac-berkembar dan model hatchback ini mampu dipacu daripada titik sifar sehingga 100km/j dalam hanya 7.3 saat dan berkeupayaan mencecah kelajuan tertinggi sehingga 219km/j.
Berkenaan dengan penjimatan bahan api, Alfa Romeo mendakwa model Quadrifoglio Verde ini hanya menggunakan 5.4 liter bagi setiap 100km dan pelepasan karbon dioksida pula ialah 124g/km.