Ferrari California T penuh revolusi & inovasi
Dengan mengetengahkan kombinasi imej yang unik antara sporty, eksklusif dan versatil, maka terhasillah California T terbaharu daripada Ferrari.
Menampilkan ciri-ciri yang penuh inovasi, California T ini merupakan kesinambungan revolusi bagi model FF dengan pacuan semua roda, empat tempat duduk serta ditambah pula keselesaan yang optimum dan dipadankan bersama teknologi CarPlay Apple.
California T menerima unit kuasa serba baharu yang merupakan pertama di dunia dengan kombinasi antara prestasi, tork dan bunyi enjin konversional Ferrari. Dan dalam masa yang sama turut memberikan kelebihan bagi penjimatan bahan api yang lebih efisien dengan teknologi pengecas turbo yang telah dipertingkatkan.
Enjin 3855cc V8 pengecas turbo lapan silinder ini boleh dikatakan sangat praktikal. Di mana ia boleh memuntahkan kuasa maksimum sehingga 560 cv pada 7,500 rpm dan tork puncak 755 Nm pada tujahan gear ke-tujuh.
Adrenalin pasti meledak tahap superb apabila California T ini mampu dipacu daripada titik sifar sehingga 100km/j dalam hanya 3.6 saat. Malah ia boleh menambahkan lagi kuasa pacuan walau pun pada gear tertinggi tanpa mengabaikan penggunaan bahan api yang efisien.
Dengan kehadiran Variable Boost Management yang bertindak melaraskan penghantaran tork untuk menyuaipadankan dengan pemilihan gear, ia turut membantu menjimatkan lagi bahan api tanpa mengurangkan terjahan kuasa.
California T turut tampil dengan rekaan yang teliti dan teknik produksi yang sofistikated dengan mengutamakan kualiti pada tahap terbaik. Segala komponen yang dipilih seperti crankchaft, exhaust manifold dan perumah turbo menghadiahkan bunyi yang luar biasa hasil daripada ledakan enjin. Malah bunyinya lebih impresif tatkala putaran enjin kian ligat.
Bukan sekadar itu sahaja, California T ternyata sebuah jentera sports sejati dengan kehadiran roda stereng yang sangat mantap dan memiliki daya kawalan terbaik. Ia sangat memberikan responsif optimum dengan kerjasama antara kotak kawalan stereng baharu dan pelarasan suspensi yang baharu.
Dengan kehadiran gegelung dan peredam Magnaride generasi terbaharu, ia turut menyumbang 50 peratus untuk kelajuan jentera ini. Malah ia turut disumbangkan oleh kombinasi antara pengurangan olengan kerangka yang mampu memberikan pengendalian pada tahap terbaik tanpa mengenepikan soal keselesaan pemanduan.
Jentera ini turut mengadaptasikan evolusi terkini F1-Trac, di mana ia memberikan jaminan kuasa pendikit pada tahap maksimum ketika melalui selekoh. Dibantu oleh brek seramik karbon CCM3 dengan komposit cakera dan pad yang lebih bersepadu bersama sistem ESP 8.0 Premium. Di mana ia boleh mengawal ABS pada prestasi tertinggi dengan mengarahkan jentera berhenti secara ekstrem pada jarak yang pendek iaitu 34 meter untuk kelajuan 100km/j ke 0km/j.
Bagi imej luaran dan dalamannya, Ferrari Styling Centre bertanggungjawab sepenuhnya dengan kerjasama Pininfarina. Setiap inci California T diteliti, dihalusi dan diperindahkan dengan rekaan berkualiti tinggi serta mampu menarik perhatian umum.
Bahagian hadapannya terserlah dengan gaya yang cukup agresif dengan sifat penuh maskulin pada bahagian sisi serta di belakangnya pula imej yang garang dipertaruhkan. Malah ciri-ciri aerodinamik jelas kelihatan pada setiap sudut bahagian jentera ini.
Komponen pelepasan udara pada bahagian bonet menghala pada radiator hadapan, bagi membantu mengurangkan keseluruhan dimensi. Sementara ini, seksyen yang lebih rendah pada bampar hadapan pula memiliki fungsi sebagai saluran udara ke bahagian penyejuk dalaman enjin.
Manakala ruang kabin pula dibaluti elemen penuh mewah pada segenap sudut termasuklah kekemasan kulit semi-aniline. Ruang dalamannya juga sangat fleksibel dan bahagian kargo juga memberikan keluasan yang efisien seperti mana yang diperlukan oleh pemiliknya.
California T ditampilkan buat pertama kalinya bagi tontonan umum di Geneva Motor Show 2014 yang sedang berlangsung kala ini.