Renault Koleos 2.5 4×2 Crossover diperkenalkan di Malaysia – Berharga RM185,888
Menerima suntikan gaya yang lebih segar dan dilengkapi dengan pelbagai elemen serta teknologi yang mengikut standard masa kini merupakan pertaruhan buat Renault Koleos 2.5 4×2 Crossover ini. Diperkenalkan buat pasaran Malaysia sebentar tadi oleh TC Euro Sdn Bhd (TCEC), jentera crossover ini dijangka bakal menerima sambutan yang menggalakkan memandangkan harga yang ditawarkan agak berpatutan iaitu RM185,888 seunit.
Menjadikan imej luaran sebagai tarikan utama dengan menampilkan pelbagai pembaharuan, Renault Koleos ini mahu mencipta identiti yang tersendiri. Padanan rekaan bampar hadapan baharu dengan jeriji krom memberikan imej yang nampak agresif.
Perumah lampu isyarat sisi turut ditampilkan dengan LED sebagai indikator. Kehadiran rim aloi bersaiz 17 inci dwi-warna penuh karakteristik antara yang ditampilkan. Kekemasan krom pada jalur pelindungan pada kedua bahagian sisi kerangka meletakkan imej yang lebih elegan.
Manakala bahagian kabinnya turut diberi sentuhan sedikit mewah dengan kekemasan material kulit yang membaluti tempat duduk. Bahagian konsol tengah dihiasi dengan kekemasan satin serta krom. Zon penghawa dingin turut ditampilkan pada tempat duduk penumpang belakang bagi memberikan keselesaan yang lebih optimum.
Malah turut ditampilkan sistem multimedia Renault R-Link dengan skrin paparan sesentuh bersaiz tujuh inci, sistem bunyi Bose, kamera undur, kawalan jarak parking belakang, sistem Amaran Titik Buta.
Mengenai aspek keselamatan, Renault Koleos ini turut dilengkapi dengan ABS, EBD, Bantuan Brek Kecemasan (EBA), ESC dan Understeer Control.
Sebagai pengenalan, hanya lima unit sahaja yang dibawa masuk terlebih dahulu dan istimewanya ia turut ditawarkan dengan bumbung matahari kawalan elektrik. Namun, jika ada permintaan selepas itu, unit seterusnya akan dibawa masuk tetapi kali ini tidak ditampilkan dengan bumbung matahari kawalan elektrik.
Renault Koleos 2.5 4×2 ini dilancarkan serentak dengan pembukaan bilik pameran baharu Renault yang ke-empat. Terletak di Glenmarie, Shah Alam, bilik pameran ini turut turut mempamerkan barisan jentera Renault, antaranya Renault Megane RS 265 Red Bull Racing RB8.
TC Euro Cars Sdn Bhd juga bakal melancarkan model serba baharu Renault Clio RS 200 EDC dan Renault Fluence (unit pemasangan tempatan atau CKD) untuk pasaean Malaysia tidak lama lagi.
Spesifikasi Renault Koleos 2.5 4×2 Crossover :
Enjin : 2.5 liter 4-silinder 16-injap
Transmisi : X-Tronic CVT dengan 6-kelajuan
Kuasa maksimum : 170 hp pada 6,000 rpm
Tork maksimum : 226 Nm pada 4,400 rpm
Kelajuan tertinggi : 186 km/j
Tayar : 225/60 R17
Pilihan warna : Hitam metalik, kelabu dan putih mutiara