Proton Persona SV kereta rakyat dilancarkan, harga bermula dari RM44,938
Sejak melancarkan Proton Saga SV pada Jun yang lalu, Proton kerap kali diajukan soalan adakah program ‘SV’ yang membawa maksud ‘Super Value’ ini akan diteruskan pada model-model lain.
Lantaran pada sambutan yang begitu menggalakkan ini, pihak pengurusan Proton sepakat untuk mengambil langkah bijak muncul dengan program SV kedua. Kali ini model Proton Persona telah dipilih dengan objektik mahu terus menghasilkan kereta mampu milik khas untuk rakyat Malaysia.
Satu kejutan yang dibawakan oleh Proton bila mana harga bagi Proton Persona SV ini diumumkan hanya RM44,938 bagi varian manual dan RM47,938 automatik (harga bagi Semenanjung Malaysia). Ia merupakan harga atas jalan yang dilengkapi dengan insurans. Apabila berada di bawah lingkungan RM50,000 maka secara tidak langsung Proton boleh dikatakan sangat memahami keperluan segelintir rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan membeli kenderaan jenama dari luar khususnya yang lebih mahal daripada itu.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dato’ Lukman Ibrahim, “Kejayaan Proton Saga SV telah membuktikan bahawa rakyat Malaysia inginkan sebuah kenderaan yang mampu milik yang berkualiti, praktikal dan mempunyai stail tersendiri. Maka Proton sepakat untuk meneruskan program SV dengan menghasilkan Persona SV yang menawarkan harga sangat berpatutan, ”ujarnya ketika ditemui pada sidang media selepas melancarkan model ini di karnival PROTON Bola! Bola! Bola semalam.
Persona SV ini menggunakan platform yang sama dengan Persona Elagance iaitu model yang dinaik taraf pada 2010. Dengan beberapa elemen yang ditambah iaitu dua beg udara, ABS, EBD, empat cakera brek dan tali pinggang keselamatan pra-regangan untuk tempat duduk hadapan. Malah ia turut dipadankan dengan rim bersaiz 15 inci untuk tayar 195/60.
Walau bagaimana pun, terdapat beberapa elemen yang tidak terdapat pada varian ini seperti tiada door visor, lampu kabus, dan pelarasan untuk cermin sisi manual sahaja. Turut mengekalkan enjin yang sama iaitu 1.6 liter Campro AIFM yang mampu menghasilkan 100hp pada 6,500rpm dan tork 148Nm pada 4,000rpm. Dengan dua varian iaitu manual lima kelajuan dan automatik empat kelajuan, Persona SV ini turut dipacukan dengan suspensi MacPherson struts untuk hadapan dan multi-link bersama bar penstabilan bagi pacuan belakang.
Dengan pilihan warna yang menarik iaitu Solid White, Bronze Garnet, Tranquility Black, Genetic Silver, Fire Red, Chiffon Green dan Atlantic Blue, ia juga didatangkan dengan dua tahun atau 50,000km jaminan dari kilang pengeluar.