Kia Sportage tampil lebih sporty -Diperkenalkan pada harga RM138,888
Naza Kia Malaysia baru saja melancarkan model facelift Kia Sportage sempena dengan penganjuran Hari Pelanggan Kia World Cup Bonanza yang bermula pada 13 hingga 16 Mac ini
Kia Sportage ini merupakan model kedua yang diperkenalkan oleh Naza Kia Malaysia pada tahun ini selepas pelancaran Kia Optima K5 serba baharu pada Januari lalu.
Menerima 25 penambahbaikan dan telah dikategorikan sebagai SUV kompak mesra-urban, Kia Sportage tampil dengan rekaan yang penuh berdinamik dengan ekspresi yang bergaya. Sesuai untuk mereka yang berusia antara 26 hingga 40 tahun.
Tampil dengan jeriji radiator ‘Aero Mesh’ rekaan baharu pada bampar hadapan, rim aloi bersaiz 18 inci, antena sirip jerung, bampar belakang yang turut diberi suntikan gaya baharu, menampakkan ciri yang lebih sporty terhadap Sportage ini. Lebih daripada itu, penggunaan lampu utama projektor dengan lampu pencahayaan siang LED, lampu kabus, lampu belakang yang turut dilengkapi dengan LED menyerlahkan lagi imej baharu Sportage.
Pada bahagian kokpit, roda stereng Motor Driven Power Steering (MDPS) dengan Flex Steer turut dibaluti material kulit bagi memberikan kuasa genggaman yang lebih selesa. Malah Sportage ini turut tampil dengan mod pemanduan Comfort, Normal dan Sport bagi memberikan kuasa pengendalian dan pemanduan yang lebih optimum.
Elemen-elemen baharu lain yang turut ditampilkan ialah shift knob, butang penghidup enjin dengan rekaan baharu sistem kunci pintar, bumbung panoramik, zon berkembar penghawa dingin, ruang simpanan sejuk, lampu dalaman yang mempunyai mood tertentu, tempat duduk belakang yang boleh dilaraskan dengan dua cara serta tempat duduk pemandu dengan lapan pelarasan secara elektronik.
Untuk hiburan yang lebih menyeronokkan, Sportage turut menampilkan unit kepala dengan sistem bunyi Infinity bersama tujuh pembesar suara, dua tweeter, empat pembesar suara pada bahagian pintu dan satu sub-woofer. Malah turut disediakan skrin paparan TFT-LCS bersaiz 4.2 inci untuk meter kluster dan juga kamera undur.
Bagi memberikan kepuasan pemanduan, Sportage juga telah mengurangkan kesan bunyi bising yang mampu meresapi bahagian kabin hasil tekanan pada pedal pendikit. Dengan memberi penambahbaikan pada NVH (Noise, Vibration dan Harshness), bunyi bising yang tidak diperlukan dapat disingkirkan.
Di bawah hud Sportage, ia dikuasakan oleh enjin petrol NU 2.0 MPI dengan padanan Dual Continuous Variable Valve Timing (DCVVT). Ia mampu memberikan kuasa maksimum sehingga 154 PS dan torque 191 Nm. Serta dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan.
Untuk pengendalian yang lebih selesa, Sportage turut menggunakan MacPherson Struts dan multi-link untuk bahagian suspensi yang mampu mengurangkan impak kurang menyenangkan ketika SUV ini dipacu. Malah ia juga membantu mengoptimakan kesan lambungan dan meningkatkan lagi kualiti pemanduan.
Berkenaan dengan aspek keselamatan, Sportage telah diberi pengiktirafan lima bintang oleh Euro NCAP dan NHTSA. Ia juga didatangkan dengan enam beg udara, ABS, EBD, Kawalan Brek Menuruni Bukit, Kawalan Bantuan Mendaki Bukit, Kawalan Brek Selekoh, Sistem Bantuan Brek dan Sistem Kawalan Cengkaman.
Didatangkan pada lima pilihan warna yang menarik iaitu Clear White, Mineral Silver, Bright Silver, Sand Track dan Signal Red, Sportage baharu dijual pada harga atas jalan RM138,888 untuk Semenanjung Malaysia. Pembeliannya turut didatangkan dengan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan.
Kia Sportage sudah pun mula dibuka tempahannya sekarang.
Mensasarkan jualan sebanyak 150 unit sebulan,SUV ini bakal dipertontonkan di khalayak ramai sepanjang Hari Pelanggan Kia World Cup Bonanza di kesemua 43 cawangan Kia seluruh Malaysia.Sepanjang program ini berlangsung, banyak aktiviti menarik telah diaturkan khas untuk para pelanggan NAZA dan peluang membawa pulang pelbagai hadian menarik termasuklah percutian ke Brazil jika menempah atau memandu uji Picanto atau Cerato.