Mazda3 SKYACTIV penuh evolusi – Dijual pada harga RM139k
Lintas langsung dari One Utama, Petaling Jaya!
Setelah memperkenalkannya ketika melancarkan Biante dan CX-9 November tahun lalu, kini tibalah pula giliran Mazda3 untuk meluncur di pasaran Malaysia. Dibawa masuk terus dari Jepun, penampilan Mazda3 SKYACTIV serba baharu ini boleh dikatakan mewakili keterujaan Mazda di dalam menghasilkan kejuruteraan yang penuh inovatif untuk semua model buatannya.
Buat setakat ini, Bermaz Motor hanya membawa masuk varian sedan (unit CBU) sahaja. Dan kemungkinan besar varian hatchback bakal berada di pasaran Malaysia tidak lama lagi.
Mazda3 tampil sebagai kenderaan jimat tenaga (EEV) yang membawakan evolusi terkini dan dilengkapi dengan teknologi SKYACTIV. Selain menghasilkan kuasa prestasi yang menguja, ia juga mampu memberikan penjimatan bahan api yang efisien.
Dengan enjin SKYACTIVE-G 2.0L empat silinder sebaris, ia mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 162 hp pada 6,000 rpm dan tork puncak 210 Nm pada 4,000 rpm. Mazda3 ini juga dipadankan dengan kotak gear automatik SKYACTIV-DRIVE enam kelajuan.
Untuk pasaran Malaysia, kita hanya menerima varian spesifikasi sederhana. Namun penampilan bagi rekaan luaran dan dalamannya masih mengagumkan.
Pada bahagian hadapannya, Mazda3 nampak sungguh maskulin dengan padanan lampu utama bi-xenon yang dilengkapi dengan lampu pencahayaan siang LED, lampu hadapan adaptif, lampu kabus dan rim aloi bersaiz 18 inci yang membaluti tayar 215/45 Dunlop SP Sport Maxx. Jeriji pada bampar hadapan juga nampak sedikit lebar memberikan imej yang agak garang pada Mazda3 ini.
Menjenguk bahagian belakangnya, kelihatan lampu belakang LED tetapi tidak kelihatan pula boot spoiler yang seakan tersorok. Malah paip ekzos berkembar membantu menampakkan model ini lebih sporty.
Tidak ketinggalan di dalam menyerapkan elemen ‘Kodo’ sepenuhnya bagi tema rekaannya, bahagian kabin juga direka penuh elegan yang amat mementingkan keselesaan dan kesempurnaan.
Dengan kekemasan piano black, zon tunggal penghawa dingin, tempat duduk balutan fabrik, sistem kunci pintar, butang penghidup enjin, bumbung matahari, roda stereng balutan kulit dan pedal penukar gear, ternyata Mazda3 sangat mengikut standard masa kini yang diperlukan.
Pada bahagian panel instrumen, speedometer terletak di bahagian tengah diapit dengan meter putaran digital pada sebelah kiri dan kanan pula terdapat skrin paparan pelbagai informasi.
Untuk infotainmen yang lebih menyeronokkan, Mazda3 turut ditampilkan dengan enam pembesar suara dan MZD Connect serta skrin sesentuh bersaiz tujuh inci yang juga boleh memaparkan imej navigasi. Sistem ini turut boleh dihubungkan dengan penggunaan CD, Bluetooth, AUX, USB dan SD.
Lain-lain elemen menarik yang ditampilkan pada Mazda3 ini ialah ruangan kargo berkapasiti 408 liter, sistem kawalan i-Stop dan i-Eloop.
Bagi aspek keselamatan, Mazda3 dilengkapi dengan enam beg udara, ABS, EBD, BA, DSC, TCS dan Isofix.
Harga atas jalan berserta insurans yang ditawarkan ialah RM138,935.50 dan ditawarkan pada empat pilihan warna iaitu Soul Red Metallic, Snowflake White Pearl Mica, Titanium Flash Mica dan Meteor Grey Mica.
Setiap pembelian akan didatangkan dengan waranti selama tiga tahun atau 100,000km (yang mana terlebih dahulu) dan juga servis percuma selama tiga tahun atau 60,000km.