Volkswagen sediakan Program Waranti Lanjutan khas untuk para pelanggan
Selepas mengumumkan tentang penambah baikan terhadap perkhidmatan selepas jualan, Volkswagen Group Malaysia (VGM) memperkenalkan pula Program Waranti Lanjutan bagi para pelanggan mendapat tuntutan dengan lebih pantas.
Ia adalah kerjasama antara syarikat insurans dan rangkaian pengedar bertauliah untuk memastikan tuntutan yang dilakukan oleh para pelanggan dapat diproses dengan lebih efektif dan tidak mengambil masa yang lama.
Menurut Pengarah Urusan VGM, Christoph Aringer, Volkswagen sangat komited untuk memperbaiki dan meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan pelanggan untuk menjadi yang terbaik di dalam industri ini.
Maka Program Waranti Lanjutan ini antara langkah yang diambil untuk memastikan proses penyelenggaraan kenderaan di pusat servis bertauliah bertepatan dengan kehendak para pelanggan.
Tambahan pula, VGM dan syarikat insurans terbabit turut mengumumkan pertambahan lanjutan elaun 1,500km. Di mana pihak pengilang mengesyorkan penyelenggaraan perbatuan berselang antara setiap 15,000km atau satu tahun yang mana terlebih dahulu. Dengan penambahan ini, para pelanggan berpeluang menikmati program yang ditawarkan yang dilihat sebagai berbaloi dengan keperluan mereka.
Sebelum ini, VGM telah mengumumkan bahawa sebanyak 20 pusat servis Volkswagen di Semenanjung Malaysia akan beroperasi pada hari Ahad dari jam 9 pagi sehingga 5 petang. Ia akan bermula pada 16 Mac ini, di mana pemilik kenderaan Volkswagen boleh menghantar kenderaan mereka untuk perkhidmatan penyelenggaraan secara lebih fleksibiliti.