Hyundai Sonata 2015 membuat penampilan pertama global di Korea Selatan
Sebelum dipamerkan secara rasmi di New York Auto Show 2014 pada bulan hadapan, Hyundai Sonata versi 2015 telah pun membuat penampilan pertama global di Korea Selatan baru-baru ini. Hyundai berkata, model generasi ketujuh LF Sonata ini mewakili rekaan dan teknologi yang diaplikasikan pada Hyundai Genesis yang membuat penampilannya pada November lalu.
Apa kelebihan yang cuba ditonjolkan oleh model Sonata ini?
Berbanding dengan model YF Sonata, ia lebih panjang sebanyak 35 mm dan 30 mm lebih lebar dengan pertambahan ruang dalaman yang lebih memuaskan. Malah ia juga menampilkan garisan luaran yang kurang menonjol pada rekaan kerangkanya dengan menerapkan falsafah ‘Fluidic Sculpture 2.0’. Malah Hyundai turut mengetengahkan konsep rekaan yang digelar ‘Inner Force’ dengan tema ‘rekaan penuh estetik dan berkeyakinan’.
Berkaitan dengan bahagian teknikal, ia meningkatkan penggunaan keluli tegangan tinggi sebanyak 51 peratus berbanding 21 peratus pada model sebelumnya. Ia bagi menjamin ketegaran dan kemantapan kerangka jentera ini.
Manakala bagi ruangan kabinnya, jelas kelihatan imej yang lebih premium dan elegan, dengan permukaan yang lebih lembut dan penggunaan material yang lebih berkualiti tinggi. Antara elemen dalaman yang ditonjolkan ialah kekemasan bercorak kayuan, tempat duduk balutan kulit yang mampu memberikan haba panas, lampu LED, sistem multimedia baharu dan pengesan parkir belakang.
Bagi aspek keselamatan pula, ia bakal tampil dengan Advanced Smart Cruise Control (ASCC), pengesan titik buta, Lane Departure Warning System (LDWS), beg udara bahagian lutut untuk pemandu, lampu isyarat kecemasan, brek parkir elektronik.
Model Sonata 2015 untuk pasaran Korea Selatan ini akan hadir dengan tiga varian iaitu 2.0-liter CVVL (166 hp/ tork 148 lb-ft), 2.4-liter GDi (190 hp/ tork 182 lb-ft) dan 2.0-liter LPi (149 hp/ tork 143 lb-ft). Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan serta manual juga enam kelajuan.