Nissan pembekal rasmi Kenderaan Komersial Ringan (LVC) buat pasukan Infiniti Red Bull Racing
Bahang Formula 1 Petronas Malaysian Grand Prix 2014 semakin membara. Menyaksikan pertembungan pasukan-pasukan hebat yang bakal berentap di Litar Lumba Sepang pada Ahad ini. Ini termasuklah dengan pasukan Infiniti Red Bull Racing yang pastinya mampu memberikan persaingan sengit buat para pencabarnya.
Untungnya pasukan Infiniti Red Bull Racing kerana kehadiran mereka di Malaysia kali ini turut menjadi pilihan Nissan. Di mana selama tiga tahun berturut-turut, Nissan telah menjadi pembekal rasmi Kenderaan Komersial Ringan (LCV) buat pasukan juara empat kali Formula 1 ini.
Dengan berbesar hati, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) sepakat untuk terus menyediakan LCV Nissan kepada pasukan ini demi memenuhi keperluan pengangkutan mereka sepanjang acara yang berlangsung di Malaysia pada minggu ini. Sebanyak lapan kenderaan, iaitu dua buah Nissan Urvan, Nissan Serena, Nissan Navara dan Nissan NV200 dipilih menjadi kenderaan untuk mengangkut peralatan serta para kakitangan.
Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng berkata, “Kami berbesar hati untuk menyediakan Kenderaan Komersial Ringan (LCV) Nissan sebagai sokongan logistik buat pasukan ini di Sepang. Nissan Urvan, Nissan Serena, Nissan Navara dan Nissan NV200 yang menawarkan prestasi, versatiliti dan kemudahan mengagumkan memang ideal untuk operasi perlumbaan pasukan. Kami berbangga kerana dikaitkan dengan pasukan yang memenangi kejuaraan.”